Persiapan skuad Kuala Lumpur untuk berdepan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada Sabtu menerima tamparan hebat apabila kehilangan sentuhan jurulatih Fabio Maciel da Silva dan penyerang utama, Guilherme De Paula.

Kedua-duanya dimaklumkan pada saat akhir akan menjalani penggantungan satu perlawanan tambahan ekoran insiden yang tercetus ketika menentang Selangor dalam aksi suku akhir pertama Piala FA pada 7 April lalu. Ia disahkan Jawatankuasa Tatatertib.

Fabio ketika itu diperintah meninggalkan bangku simpanan kerana mencekik dan menolak Amri Yahyah manakala De Paula pula dilayangkan kad merah kerana menumbuk Abdul Halim Zainal pada perlawanan yang menyaksikan skuad warga kota tewas 0-3.

Ia mengulangi situasi yang dialami oleh Kuala Lumpur ketika aksi suku akhir kedua Piala FA pada 21 April lalu, di mana mereka beraksi tanpa Fabio dan De Paula yang menjalani penggantungan satu perlawanan automatic. Namun mereka tetap berjaya melakar kebangkitan sensasi dengan mencatat kemenangan 3-0 sebelum tersingkir menerusi penentuan penalti.

Justeru, sudah tentunya Kelantan sedar ianya kesilapan besar jika skuad muda mereka mengambil mudah ancaman barisan depan skuad juara 100PLUS Liga Premier itu yang hadir dengan misi besar mahu mencatat kemenangan pertama di Kota Bharu selepas 14 tahun.

Kali terakhir Kuala Lumpur menang di gelanggang tersebut adalah 5-2 dalam saingan Liga Perdana 2004 dan mereka juga tewas kesemua 10 perlawanan terakhir menentang Kelantan sejak 2010.

Namun situasinya sudah berbeza sekarang, mereka punyai sebab untuk optimis dengan peluang membawa pulang tiga mata – tatkala kemenangan 2-1 ke atas PKNS FC pada Rabu lalu melonjakkan mereka ke tangga kelapan Liga Super, Kelantan pula terus bergelut di dasar liga setelah mengalami kekalahan kelima, tewas kepada PKNP FC 0-2.

Mereka hanya mengumpul lima mata dari lapan perlawanan dan hanya dipisahkan menerusi beza jaringan dengan pasukan tangga tercorot, Negeri Sembilan.

Pelbagai masalah di dalam dan luar padang nampaknya menjadikan segalanya kusut di kem Kelantan ketika ini dan ia pastinya satu situasi yang mahu dimanfaatkan oleh Kuala Lumpur.

Sama ada skuad warga kota berjaya untuk memalukan Kelantan di hadapan penyokong mereka dan menambah derita pasukan itu, atau Kelantan berjaya melakar kemenangan pertama di bawah kendalian Fajr Ibrahim, pastinya menarik untuk disaksikan.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -