MockCheque20x36_blue

Apabila memperkatakan tentang Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), komuniti sukan dan masyarakat umum tahu bahawa mereka tidak pernah menghampakan negara dalam meraih kejayaan dalam mana-mana kejohanan atau temasya sukan.

MAKAF telah dibentuk dengan menggabungkan pelbagai kelab di bawah satu payung pada 1978.

Penubuhannya diiktiraf Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai badan induk sukan karate di Malaysia.

Sejak kepimpinan terdahulu, seperti Dr Leong Kwok Onn, Dato’ Tan Tiong Hong, Allahyarham Datuk Megat Junid Megat Ayob, Datuk Henry Chin, Datuk Zulkifli Mat Nor sehinggalan pemimpin sekarang, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, MAKAF terus melebarkan sayapnya.

Kredibiliti kepimpinan, kejayaan yang di bawa dan kegigihan mempertingkatkan mutu sukan karate di negara ini membolehkan MAKAF dipilih sebagai penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik pada Majlis Anugerah Sukan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100Plus 2014, pada 18 Mac ini.

Antara kejayaan yang di bawa pulang skuad karate negara ialah dua pingat emas dan dua pingat gangsa pada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September tahun lepas.

Pingat emas dihasilkan menerusi Lim Chee Wei dan Syakilla Salni dan dua gangsa melalui  Shree Sharmini dan Senthil Kumaran.

Selain itu pada Kejohanan Karate Senior Dunia ke-22 (22nd World Senior Karate Championship 2014) di Bremen, Jerman pada 5-9 Nov lepas, skuad karate berjaya meraih satu perak dan satu gangsa.

Sementara dalam penyertaan dalam temasya Sukan SEA, skuad karate tidak pernah pulang hampa sebaliknya seperti lubuk pingat emas untuk kontinjen negara.

Bermula dengan edisi di Brunei Darussalam pada 1999, Malaysia berjaya meraih tujuh pingat emas, lima perak dan empat gangsa dan kejayaan terbesar dalam Sukan SEA ialah ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada 2001 iaitu dengan sembilan pingat emas, tiga perak dan enam gangsa.

Pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar, skuad karate membawa pulang tujuh pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.

Selain atletnya meraih kejayaan dalam mana-mana kejohanan baik di rantau Asia mahupun peringkat dunia, MAKAF turut mempamerkan kreadibilitinya dalam menganjurkan siri seminar dan klinik kejurulatihan peringkat kebangsaan dan juga serantau.

- Advertisement -