Biarpun bergelar pendatang baharu Liga Premier pada musim lalu, kemampuan Kuching City FC yang sebelum ini dikenali Kuching FA menduduki tempat keempat nyata mengejutkan ramai pemerhati dan peminat.

Pada musim 2021, pengurusan Kuching City FC terus mengorak langkah memantapkan lagi pasukan apabila mendapatkan sentuhan jurulatih yang cukup kaya dengan pengalaman, Irfan Bakti serta membawa beberapa muka baharu.

Antara pemain tersebut ialah bekas pertahanan Kelantan United FC, Alyton Alemao, pemain pertahanan Nazrul Abdul Samad, selain dua bekas pemain UKM FC, Mohd Rafiq Shah Mohd Zaim dan Muhammad Badrul Amin Hamid yang bermain di bahagian sayap.

Kehadiran pemain berpengalaman, Joseph Kalang Tie yang pernah bekerjasama dengan Irfan pada 2009 dan 2011 di Terengganu, dijangka akan terus memacu Kuching City FC selain Hairol Mokhtar dan penjaga gol, Iqbal Suhimi.

Irfan tetap mengimpikan slot ke Liga Super walaupun sedar ada beberapa pasukan lain mempunyai kualiti pemain lebih baik namun berdasarkan komitmen yang ditunjukkan pemain, beliau berasakan Kuching City ada kemampuan buat kejutan kepada pencabar-pencabar lain.

“Saya ada memberitahu kepada pengurusan yang saya mahu bawa pasukan ini ke Liga Super walaupun rasanya nampak sedikit sukar cuma dalam bola sepak ini tiada apa yang mustahil.

“Pemain tempatan dalam pasukan ini masih merupakan yang sama membawa Kuching naik dari Liga M3 sebelum ini dan saya cukup kagum dengan semangat yang mereka pamerkan tiap kali dalam sesi latihan.

“Pemain-pemain senior dalam pasukan ini seperti Joseph dan Hairol sentiasa menunjukkan komitmen serta contoh yang baik kepada pemain-pemain, jadi saya yakin pasukan ini mampu pergi jauh berdasarkan semangat berpasukan yang tinggi ditunjukkan oleh semua,” katanya.

Kuching City FC akan membuka tirai Liga Premier 2021 pada pusingan LP2 dengan menentang Terengganu FC II di Stadium Negeri, Kuching pada 9 Mac.

 

- Advertisement -