PJ City FC mengambil langkah berani untuk membariskan 100 peratus pemain tempatan beraksi dalam saingan Liga Super 2021.

Pengendalinya, P. Maniam menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada kesemua pemain dalam memberi cabaran sengit kepada lawan meskipun tanpa kelibat seorang pemain import dalam skuad pada musim ini.

Banyak juga perubahan yang dilakukan dalam pasukan itu termasuklah turut mengikat bekas pemain kebangsaan, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dari Perak, K. Prabakaran dari Selangor, selain pemain muda Felda United FC, Muhammad Faiz Mazlan dan Muhammad Syahmi Zamri.

Tetapi, bekas penyerang Terengganu FC, Darren Lok dijangka akan mencipta kejutan bagi membantu pasukan bersama-sama K. Gurusamy untuk menjadi perancang utama pasukan pada musim ini.

Jelas Maniam, Darren merupakan pemain yang cukup berdisiplin dan komited dalam latihan bersama-sama rakan sepasukan lain dan tidak mustahil tahun ini akan menjadi musim yang lebih baik untuknya selepas kurang diberi peluang untuk bermain ketika bersama TFC pada musim lalu.

Pemain kacukan Malaysia-England itu kurang menyerlah dalam pasukan TFC sebelum dia diturunkan pangkat ke TFC II pada Mac 2020 dan semestinya dia mengharapkan PJ City FC akan memberi ruang lebih baik untuknya perbaiki prestasi seterusnya berjaya untuk meledak lebih banyak jaringan.

“Darren Lok antara pemain yang mempunyai disiplin tinggi dalam padang dan dia sekarang nampaknya berjaya untuk cipta keserasian dengan baik bersama pemain-pemain lain.

“Ketika aksi persahabatan bersama Selangor 2, saya letakkan dia dalam kesebelasan utama dan dari situ saya boleh tengok Darren ini merupakan pemain yang sangat rajin dan bekerja keras di atas padang.

“Saya percaya musim ini akan menjadi yang lebih baik untuknya dan dia boleh bantu pasukan untuk menjaringkan gol dalam perlawanan nanti”, jelasnya.

- Advertisement -