Malaysian Football League (MFL) menyatakan kesediaan untuk bergerak pantas dalam usaha meningkatkan kualiti pengadilan di Liga Malaysia selepas mengumumkan penubuhan Professional Match Officials Malaysia (PMOM), pada Isnin.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi menegaskan penubuhan PMOM ini bakal menyaksikan harapan penyokong tanah air untuk melihat pengadil tempatan bertaraf profesional menjadi kenyataan.

“Kita cuba bergerak pantas dan sistem PMOM ini berharap dapat perbaiki mutu pengadilan. Apabila kita dapat perbaiki mutu pengadilan dan secara tidak langsung ia juga dapat meningkatkan lagi kualiti bola sepak tempatan

“Kita perlu akui bahawa mutu pengadilan kita sentiasa menjadi pertikaian dan itulah sebab kita berusaha sebaik mungkin untuk mencari jalan penyelesaian. Malah DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sendiri menyuarakan kebimbangan mutu pengadilan tempatan ketika menjadi Presiden FAM dan kini menjadi Pengerusi MFL.

“Kami sentiasa berusaha untuk mencapai tahap pengadilan yang dimahukan peminat yang mana masih ada kelemahan. Jadi, usaha dan kerjasama MFL dan FAM untuk memastikan mutu pengadilan berada di tahap maksimum kerana mustahil untuk sampai ke sempurna kerana kita lihat liga lain di dunia juga masih ada kelemahan kerana ada melibatkan faktor kemanusiaan dalam proses tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Yusoff yang juga merangkap Ahli Lembaga MFL, optimis bahawa penubuhan PMOM menjadi medan terbaik untuk melahirkan pengadilan tempatan berkualiti tinggi.

“Kita berusaha untuk mewujudkan sebanyak mungkin pengadil yang berkaliber. Kita juga tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan sistem pengadil yang dilatih sejak dari usia muda.

“Apa yang pasti, kita cuba sesuaikan sistem PMOM ini berdasarkan liga tempatan tetapi saya percaya ini adalah pendekatan terbaik untuk memajukan liga negara kita,” tambahnya.

MFL bersama FAM mengadakan perjumpaan bersama Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) pada Ahad lalu bagi mendapatkan khidmat nasihat bersama badan induk pengadil profesional Liga Perdana Inggeris itu.

Pertemuan ini bertujuan mendapat gambaran lebih jelas serta kepakaran daripada pihak PGMOL dalam meningkatkan kualiti pengadilan Liga Malaysia.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -