Selepas lima tahun, bekas pertahanan PKNS FC, Gonzalo Soto, sama sekali tidak menyangka masih ada peluang kedua buat dirinya untuk bermain di Liga Malaysia.

Memilih untuk bersama Sarawak United, pertahanan berusia 32 tahun dari Argentina itu akui tawaran bermain di Liga Malaysia sememangnya satu peluang yang sentiasa dinantikan.

Ujarnya, pengalaman tiga tahun semasa bermain di Liga Malaysia adalah detik terbaik dalam kariernya yang menjadikan dia tidak berfikir panjang untuk kembali ke sini.

” Walaupun lima tahun telah meninggalkan Malaysia, saya masih ambil tahu perkembangan Liga Malaysia dan sentiasa berharap untuk kembali ke sini pada satu hari nanti.

” Apabila Elavarasan hubungi untuk datang kembali ke sini, saya memang tidak menolak peluang yang diberikan kerana saya memang suka suasana di Malaysia.

“Tiga musim bersama PKNS, saya tidak boleh lupakan pengalaman manis semasa bermain di final Piala FA 2016 di mana kami tewas tipis kepada JDT dan harap saya boleh peroleh seauatu yang lebih baik kali ini.

” Saya mendengar banyak perkara menarik mengenai Sarawak yang merupakan sebuah pasukan sedang meningkat naik dan secara jujurnya, saya sangat gembira dapat kembali ke Liga Malaysia ,” katanya.

Soto bermain selama tiga musim(2015-2017) di Liga Malaysia bersama PKNS sebelum terpaksa diketepikan pada pertengahan tahun 2017 ekoran masalah kecederaan lutut.

Dia pernah meluahkan hasrat untuk kembali ke Liga Malaysia pada awal 2018 apabila pulih sepenuhnya dari masalah kecederaan namun tidak mendapat mana-mana tawaran sebelum pulang ke Amerika Selatan untuk beraksi di Ecuador.

Soto turun pada aksi kedua Liga Super yang menyaksikan mereka tewas 0-6 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum membantu pasukannya meraih kemenangan 7-0 ke atas Ultimate FC pada pusingan pertama Piala FA.

” Pasukan ini mempunyai ramai pemain baru yang saya rasa mungkin mengambil masa untuk kami memahami corak permainan antara satu sama lain.

” Saya sendiri baru dapat mengenali pemain-pemain ketika berdepan JDT, itu pun selepas saya dikuarantin.

” Harap dengan masa rehat yang ada sebelum Liga Super kembali bersambung, kami boleh memperbaiki segala kelemahan dan saya percaya potensi yang dimiliki Sarawak United,” katanya.

- Advertisement -