SAINGAN kemuncak antara NEGERI Sembilan dan KPT-Uniten Thunderbolts pada final Piala Vivian May Soars Ahad ini menjadi pertembungan buku dengan ruas yang akan menentukan secara mutlak siapa sebenarnya layak bergelar juara Liga Hoki Malaysia (wanita) musim ini.

Tanpa ada sebarang kejutan, kedua-dua pasukan mudah melepasi saingan separuh akhir kedua hari ini dengan Negeri Sembilan mencatatkan kemenangan besar 8-1 (aggregat 13-1) ke atas National Development Team (NDT) manakala KPT-Uniten Thunderbolts menewaskan Sabah 2-0 (aggregat 6-0).

Yang pasti, kedua-dua pasukan bakal turun dengan kekuatan maksimum dan strategi tersendiri dengan Negeri Sembilan, di atas kertas, memiliki sedikit kelebihan sekiranya sekiranya keputusan pertemuan lepaas diambil kira.

“Memang rekod sebelum ini kami tewas sekali dan seri sekali dengan Negeri Sembilan tetapi dalam final, apa saja boleh berlaku,” kata pengendali KPT-Uniten Thunderbolts Lailin Abu Hassan.

“Saya puas hati dengan prestasi pemain hari ini menewaskan Sabah, tetapi ujian sebenar ialah menentang Negeri Sembilan di final nanti dan saya harap pemain akan terus fokus,” kata Lailin yang akan memastikan barisan serangan Negeri Sembilan dapat dikekang dengan menggunakan strategi yang sesuai nanti.

“Tempoh 24 jam ini akan kami gunakan untuk menganalisa video dan merangka strategi yang ampuh untuk mengekang pergerakan barisan penyerang merbahaya seperti Hanis Nadiah Onn pada final nanti,” kata beliau.

Dalam pada itu, penolong jurulatih Negeri Sembilan Mohammad Nazrin Yahya pula lega kerana semua pemain bebas dari sebarang kecederaan menjelang final.

“Kita akan buat sehabis baik dan pemain tahu tanggungjawab masing-masing dan sasaran kita untuk menang kedua-dua piala musim ini. KPT –Uniten juga mempunyai senjata bahaya untuk menidakkan peluang kami, terutama kemampuan melakukan serangan balas yang pantas.

Yang penting ialah pemain sentiasa fokus, tidak sia-siakan sebarang peluang di depan gol,” kata beliau.

Perlawanan akhir dijadualkan jam 6.30 petang pada Ahad ini (18 Mac) di Stadium Hoki Nasional 1 manakala perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pada jam 4.00 petang hari yang sama.

 

- Advertisement -