Walaupun status mereka sama ada akan kekal bersaing dalam Liga Super atau disingkir ke Liga Premier masih belum diputuskan, Felda United tetap mempersiapkan skuad terbaik untuk mengharungi saingan musim baru Liga Malaysia.

Terbaru, The Fighters berjaya mendapatkan semula khidmat pemain tengah, Ahmad Syamim Yahya selepas semusim pemain itu mewakili negeri kelahirannya, Pahang. Sebelum ini, Syamim pernah menyarung jersi Felda United selama tiga musim dari 2014-2016.

Menjelaskan keputusan kembali bersama dengan bekas pasukannya itu, Syamim menafikan ianya disebabkan tawaran lumayan sebaliknya kerana sikap profesional dan layanan baik pihak pengurusan yang membuatkannya selesa bersama mereka.

“Lagipun saya mengagumi B.Sathianathan dan tidak pernah berpeluang bermain di bawah tunjuk ajarnya. Sebelum ini beliau pernah menawarkan saya untuk kembali ke Felda tetapi saya menolak kerana masih terikat dengan Pahang, jadi sebaik habis kontrak saya berhubung semula dengannya dan beliau masih berminat dengan saya.

“Saya yakin ini keputusan tepat, saya mahu membantu Felda United untuk terus cemerlang musim depan. Dengan kemasukan beberapa lagi pemain baru, sama ada tempatan atau import, saya merasakan pasukan ini tetap akan menjadi pencabar dan boleh memberikan tentangan sengit tidak kira ianya Liga Super atau Premier,” kata Syamim.    

The Fighters yang menamatkan cabaran Liga Super 2017 di tempat ketiga dan mara sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia, gagal dalam usaha mendapatkan lesen untuk beraksi dalam Liga Super 2018 daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan.

FAM dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) bagaimanapun tidak mahu terburu-buru ‘melucutkan’ status mereka sebaliknya mahu bermesyuarat dan menilai sekali lagi permohonan Felda United sebelum membuat keputusan.

FMLLP juga belum memutuskan pasukan mana yang akan mengambil alih tempat Felda United seandainya mereka sah diturunkan ke Liga Premier namun khabar angin bertiup kencang ianya akan menjadi milik Negeri Sembilan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -