Beraksi dengan seratus peratus pemain tempatan tidak menghalang Petaling Jaya (PJ) City FC untuk membuka kempen Liga Super 2022 dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka United.

Penyerang S. Kumaahran muncul wira pasukan apabila berjaya meledak gol tunggal perlawanan menerusi volley cantik dari luar kotak penalti tepat ke gawang menewaskan penjaga gol Norazlan Razali pada minit ke-42.

Untuk rekod, Melaka United menurunkan lima pemain import terdiri daripada Mikel Justin Cagurangan Baas dari Filipina di bahagian pertahanan, pemain tengah Sony Norde (Haiti), Emmanuel Oti Essigba (Ghana) serta penyerang Ifedayo Olusegun (Nigeria) dan Adriano Narcizo (Brazil) pada kesebelasan utama perlawanan tersebut.

Sementara itu, perlawanan tunggal Liga Premier menyaksikan Kelantan FC  mengecewakan tuan rumah Johor Darul Ta’zim (JDT) II dengan kemenangan 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Skuad The Red Warriors membuka jaringan menerusi pemain skuad bawah 23 tahun kebangsaan Indonesia, Natanael Siringo Ringo yang berjaya menyudahkan serangan balas pantas dalam situasi satu lawan satu pada minit ketujuh.

Pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan, turut menerusi serangan balas daripada Daryl Sham pada minit ke-75 selepas menerima hantaran daripada Garbiel Nistelrooy Tamin, namun skuad kendalian Rezal Zambery Yahya berjaya mengesahkan tiga mata menerusi jaringan Jasmir Mehat dari jarak dekat pada minit ke-89.

- Advertisement -