TERENGGANU meraih penghargaan sebagai pasukan pertama menjulang kejuaraan Kejohanan Hoki 5’s Kebangsaan Bawah-23 KHM 2022 selepas menewaskan Pahang 2-1 pada saingan final di Stadium Hoki Nasional.

Jaringan kemenangan Muhammad Shahrin Izzuddin Shamsuri pada minit ke-14 memastikan kejayaan bersejarah Terengganu menjulang edisi sulung kejohanan yang bermula sejak 2 Mac lepas itu.

Pahang, yang menumpaskan Kelantan 3-2 menerusi penalty shootout pada separuh akhir pagi tadi untuk mara ke final, gagal merealisasikan sasaran meraih kejuaraan biarpun turun dengan tag pasukan pilihan sebagai juara Kumpulan A.

Kedua-dua pasukan sebelum ini terikat 3-3 pada perlawanan peringkat Kumpulan sebelum ini.

Terengganu, yang menamatkan saingan Kumpulan A sebagai pasukan keempat terbaik, mara ke akhir selepas menumpaskan Kedah 2-1 di separuh akhir pada sebelah pagi.

Pahang memulakan rentak permainan dengan strategi menekan dari awal tetapi Terengganu berjaya mengekang corak permainan pantas Pahang. Terengganu terlebih dahulu melakar jaringan pembukaan apabila Muhammad Zul Rasyat Izzat Mohd Muhaiddin tidak mensia-siakan peluang terbuka dari tengah untuk merembat pukulan melepasi penjaga gol Pahang Muaz Bashir Sabri.

Pahang bangkit untuk menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi Syafiq Adam Harriss Suzaini yang berjaya menidakkan usaha penjaga gol Muhammad Amirul Aif Suhaimi pada minit ke-12, juga menerusi gerakan dari tengah.

Dengan baki enam minit sebelum tamat permainan, Terengganu mendapat peluang keemasan pukulan penalti yang tidak disia-siakan Muhammad Shahrin Izzuddin untuk meletakkan skuad bimbingan jurulatih Mohd Faizal Ismail itu di depan.

Pahang cuba bertindak aggresif untuk memaksa penalty shootout tetapi pemain Terengganu nyata fokus dan berdisplin dengan mengawal rentak permainan untuk menghampakan Pahang hingga tamat.

Kejayaan itu membolehkan Terengganu membawa pulang hadiah wang RM10,000 dan medal manakala Pahang sebagai naib juara RM7,000.

Kelantan, yang sebelum itu menewaskan Kedah 5-4, pulang dengan hadiah wang RM5,000 sebagai pemenang ketiga.

Kejohanan julung kali anjuran Konfederasi Hoki Malaysia yang menarik penyertaan 13 pasukan itu nyata menyuntik semangat baru buat pasukan untuk terus mengembangkan Hoki 5’s di peringkat negeri, seterusnya membentuk pasukan dan pemain yang mantap untuk saingan di peringkat antarabangsa.

SENARAI PENGHARGAAN:

Juara: Terengganu
Naib Juara: Pahang
Ketiga: Kelantan
Pemain Terbaik Final: Muhammad Alif Izham Abdullah (Terengganu)
Penjaring Terbanyak: Nasrul Syahkir Sadikul (Sabah) 10 gol
Putera Ahmad Syahmie Ahmad Aswad (P.Pinang) 10 gol

 

- Advertisement -