Kemaraan Malaysia, India, Jepun dan Korea Selatan ke pusingan “Super 4” Hero Piala Asia 2022, Jakarta Indonesia sekaligus menyaksikan empat kuota yang diperuntukkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bagi benua Asia di Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia 2023, India, telah lengkap.

Terdahulu India telah melangkah ke Piala Dunia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 29 Januari 2023 selaku tuan rumah sementara tiga lagi pasukan layak secara merit apabila melangkah ke Pusingan “Super 4” Hero Piala Asia 2022.

Empat pasukan daripada benua Asia akan menyertai 12 lagi pasukan di Piala Dunia 2023 iaitu Belgium, England, Jerman, Belanda, Sepanyol, Perancis, Wales, Afrika Selatan, Argentina, Chile, Australia dan New Zealand.

Pengendali Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A. Arulselvaraj menjelaskan bagi fasa 2022 hasrat pasukan bimbingannya adalah untuk memenangi kejohanan di peringkat Asia terlebih dahulu  dan mahu mengambil satu langkah demi satu langkah dalam satu masa.

“Misi pasukan dan misi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) adalah layak ke Piala Dunia 2023 jadi misi tersebut telah tercapai kini yang tinggal adalah misi pemain iaitu hasrat mereka untuk memenangi Piala Asia 2022.

“Kini segalanya terletak kepada pemain untuk mengapai hasrat tersebut demi Malaysia dan terutamanya untuk KHM.

“Sukan Asia bagi tahun ini telah ditunda dan ini bermakna Piala Asia 2022 adalah satu-satunya kejohanan yang tinggal di peringkat Asia.

“Matlamat kami beserta mentaliti untuk menang yang kami terapkan, kami mahu memenangi setiap perlawanan yang kami lalui untuk tahun 2022 di peringkat Asia,” jelas beliau.

Malaysia akan meneruskan aksi di Hero Piala Asia 2022 dalam pusingan “Super 4” dengan lawan pertama yang menanti mereka adalah Korea Selatan di mana pertemuan tersebut akan berlangsung pada Sabtu (28 Mei 2022) jam 5.00 petang, waktu Malaysia.

- Advertisement -