Oleh Muhammad Aiman

Skuad B-22 negara merakam kemenangan sulung di saingan Piala Dubai B-23 yang sedang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu setelah menewaskan seteru dari Asia Tenggara, Singapura 3-1.

Skuad Frank Bernhardt yang diaibkan dengan kekalahan 0-4 kepada Thailand Khamis lalu tampil dengan rentak permainan lebih meyakinkan dan berjaya mendahului 2-0 dalam tempoh 15 minit pertama menerusi dua jaringan pantas Adam Nor Azlin (m-13) dan S.Kumaahran (m-15).

Singapura merapatkan jurang jaringan lima minit sebelum tamat separuh masa pertama dan aksi tampak seimbang di antara kedua-dua pasukan di separuh masa kedua permainan, sebelum N.Thanabalan mengesahkan kemenangan 3-1 buat pasukan Sukan Sea negara pada minit akhir permainan.

Ia juga adalah gol kedua Thanabalan di Piala Dubai setelah menjaringkan gol penyamaan lewat permainan ketika menentang China pada aksi pembukaan pada 21 Mac lalu.

Skuad Bernhardt akan menutup kempen di Dubai dengan turun menentang Jordan pada 28 Mac ini dan sebaik pulang ke tanah air, tugas Bernhardt akan diambil alih oleh Dato’ Ong Kim Swee dan masa depan Bernhardt akan diputuskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia. 

- Advertisement -