Impian skuad hoki lelaki negara untuk meraih mata di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London masih samar selepas tewas dua perlawanan berturut turut.

Aksi kedua kumpulan A awal pagi tadi berkesudahan dengan kekalahan besar 3-7 ke atas tuan rumah England.

Anak didik Stephen Van Huizen ketinggalan 0-2 di suku pertama perlawanan, bermula dengan jaringan pembukaan oleh Barry Middleton di minit kelima hasil gol padang sebelum Christopher Griffith melebarkan kedudukan kepada 2-0 tiga minit berselang.

Malaysia bagaimanapun bangkit dengan permainan yang lebih mantap di suku kedua bermula dengan gol hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Faizal Shaari di minit ke 19.

Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil kemudiannya mengembalikan semangat juang rakan sepasukan apabila meledak gol penyamaan di minit ke 28, sekali lagi menerusi gerakan pukulan sudut penalti.

Jaringan penyamaan tersebut bagaimanapun tidak menggentarkan England apabila kembali didepan  di suku ketiga menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Sam Ward di minit ke 32 sebelum Middleton menambah derita Malaysia dua minit  berselang untuk kedudukan 4-2.

Mark Gleghome terus membuktikan kehebatan skuad kendalian Bobby Crutchley dengan gol kelima di minit ke 39.

Suku keempat, Malaysia terus tenggelam manakala England tidak memberi peluang kepada anak didik Van Huizen untuk melawan.

Ward sekali lagi melakar nama selaku penjaring di minit ke 51 untuk kedudukan 6-2 sebelum Gleghorne menutup pesta gol England hasil gerakan pukulan sudut penalti di minit ke 55.

Malaysia bagaimanapun Berjaya mendapatkan gol saguhati menerusi Faizal Shaari di minit ke 57, namun ia tidak mengubah hakikat Malaysia terus kempunan mencari mata di London.

Dalam aksi pembukaan, Malaysia tewas 3-5 kepada Argentina.

Malaysia yang berada di ranking ke-14 dunia akan bertemu Korea Selatan pada 20 Jun sebelum melengkapkan jadual kumpulan A menentang China pada 21 June. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -