Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) ketika ini sedang rancak membuat persiapan untuk saingan musim baru Liga Malaysia.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan persiapan mereka adalah lebih gah berbanding pasukan-pasukan Liga Super mahupun Liga Premier, terutamanya dalam soal rekrut pemain baru.

Ini menyebabkan terdapat suara-suara yang menegur supaya PFA tidak terlalu ghairah memburu nama besar sebaliknya selesaikan dahulu hutang-hutang dan tunggakan mencecah jutaan ringgit.

Namun dalam satu kenyataan beberapa hari lalu, PFA menyatakan mereka menandatangani pemain-pemain baru hanya selepas menyelesaikan tunggakan gaji dan memberikan amaran tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita tidak betul.

Begitupun adalah didapati mereka belum membuat sebarang pembayaran justeru membuatkan Persatuan

Pemain Professional Malaysia (PFAM) tampil bersuara sebagai mewakili pemain-pemain yang teraniaya.

“PFA masih belum memberikan apa-apa status terkini membabitkan tunggakan gaji bagi 2016 dan 2017 selain tunggakan gaji bagi 2018 yang akan dibayar secara ansuran.

“Selagi bayaran akhir belum dibuat, isu tunggakan gaji ini tidak boleh dianggap sudah selesai. Jadi PFAM menggesa agar PFA benar-benar serius dalam isu hutang ini di sebalik keghairahan menandatangani nama-nama besar bagi saingan musim hadapan.

“Tidak mustahil, jika PFA terus menerus mengabaikan tanggungjawab ini, pemain-pemain baharu akan menjadi mangsa seterusnya,” kata CEO PFAM, Izham Ismail.

Antara pemain yang sudahpun ditandatangani Perlis yang bergelut dalam Liga FAM kerana masalah kewangan kritikal sejak beberapa musim lalu adalah Badhri Radzi, Azmizi Azmi, Azmi Muslim, Abdul Aziz Ismail, Khyril Muhaimin Zambri, Amiridzwan Taj Tajuddin dan ramai lagi.

Mereka juga dilaporkan mahu cuba membawa masuk bekas penyerang sensasi kebangsaan, Safee Sali yang masih mencari pasukan baru selepas kontraknya tidak disambung oleh PKNS FC.

Sementara itu, Izham turut menegur pasukan-pasukan lain yang masih berhutang tetapi tidak mengambil sebarang inisiatif untuk menyelesaikan perkara itu.

“Ironinya mereka sangat rancak dalam menandatangani pemain baru termasuklah pemain import bagi saingan musim hadapan tetapi bila tiba tentang isu tunggakan, mereka buat tidak tahu, tiada inisiatif diambil, sebaliknya melepaskan diri dengan mengatakan dalam rundingan, perbincangan sebagainya.

“PFAM juga ingin menggesa pihak FAM untuk segera mengeluarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib kerana kelewatan dalam menentukan keputusan ini akan memberi kesan besar kepada pemain apabila pasukan terus terlepas dari dikenakan hukuman sebelum saingan musim baru bermula,” katanya.

Antara pasukan lain yang diketahui masih mempunyai tunggakan gaji untuk dijelaskan adalah Melaka United, Negeri Sembilan, Felda United, Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu City. MUHD AIMAN 

- Advertisement -