Anuar Manan

Oleh Ku Mohd Lufti

Selepas 45 hari berkelana di bumi Australia, kini masa yang ditunggu tunggu hampir tiba buat enam pelumba Terengganu Pro Asia Cycling (TSG) yang akan beraksi di Le Tour De Langkawi 2017.

Jeremy Hunt yang mengendalikan sesi latihan pusat ketika kesemua pelumba TSG menjalani latihan sejak 3 Januari lalu di Australia nyata berpuas hati dengan perkembangan dan hasil latihan yang ditonjolkan.

“Mereka berlatih dengan baik walaupun tidak banyak berkayuh ketika di Terengganu sebelum ke Australia kerana cuaca yang buruk.

“Sepanjang di Australia, mereka turut menyertai enam atau tujuh perlumbaan dan berjaya menaiki podium.” kata Jeremy.

Mengulas tentang strategi di LTdL yang memulakan saingan pada 22 Februari depan, Jeremy menjelaskan sasaran jersi kuning, putih dan pecut menjadi sasaran.

Ketiadaan pemenang jersi putih tahun lalu, Adiq Hussaini Othman bukan satu kegusaran buat bekas pelumba Sky ini kerana penggantinya yang dipilih, Mohd Shahrul Mat Amin juga punya kualiti tersendiri.

“Adiq cedera jadi kami pilih Shahrul kerana dia boleh mendaki dengan baik dan menunjukkan prestasi yang baik ketika sesi latihan.

“Dia juga kami letakkan sandaran bersama Dadi Suryadi dari Indonesia untuk memburu jersi kuning (pelumba terbaik keseluruhan), manakala perebutan podium bagi setiap peringkat, kami ada Anuar Manan dan Hariff Salleh (gambar utama).”

Tambah Jeremy, meskipun hanya satu sahaja pasukan Pro Tour (Dimension Data) yang turun beraksi, ia bukan kelebihan buat TSG kerana perhatian perlu diberi kepada pasukan pasukan lain.

Bagi Jeremy, pasukan yang mengawal perlumbaan berpeluang untuk meraih jersi kuning andai mampu mengekalkan strategi mereka sehingga peringkat terakhir perlumbaan.

Selepas kembali dari Australia, TSG akan menjalani latihan di sekitar lembah kelang termasuk menjalani latihan ke Cameroon Highlands selain menganalisa laluan yang disediakan sepanjang saingan LTdL tahun ini.

- Advertisement -