Oleh Muhammad Aiman

Juara bertahan, Johor Darul Takzim mengetuai kemaraan ke pusingan ketiga Piala FA 2017 setelah menundukkan Felda United di Jengka namun malang buat dua lagi pasukan Liga Super, Selangor dan Kelantan yang menjadi mangsa kejutan terawal saingan kali ini setelah ditunjukkan jalan keluar oleh lawan dari 100PLUS Liga Premier.

Dalam aksi berlangsung di Stadium Selayang, Selangor tunduk 3-4 menerusi sepakan penalti kepada pendahulu Liga Premier, Negeri Sembilan setelah perlawanan 120 minit termasuk masa tambahan berkesudahan seri tanpa jaringan.

Meskipun beroleh kelebihan awal setelah penjaga gol Khairul Azhan Khalid menyelamatkan tendangan pertama skuad hoben jang hoben, kegagalan pemain pertahanan import Ugochukwu Ukah dan Abdul Halim Zainal menyempurnakan sepakan masing-masing menyebabkan juara 2009 itu kempunan meneruskan kemaraan.

Nasib sama menimpa juara 2013, Kelantan yang dikejutkan pendatang baru Liga Premier, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) juga menerusi tendangan penalti di Stadium Ipoh.

Penjaga gol PKNP, Ahmad Asyraf muncul wira apabila menyelamatkan tiga sepakan penalti oleh Morgaro Gomis, Mohamed Ghaddar dan Daudsu Jamaluddin.

Aksi 120 sebelum itu berkesudahan seri 1-1 di mana PKNP kendalian Abu Bakar Fadzim mendahului seawal minit kesepuluh menerusi rembatan G.Mugenthiran sebelum Indra Putra Mahyuddin mengikat kedudukan buat The Red Warriors di separuh masa kedua.

Dalam aksi di Stadium Tun Abdul Razak, JDT bimbingan Benjamin Mora memulakan misi mempertahankan kejuaraan setelah melakar kemenangan pertama mereka dalam empat perlawanan dengan menewaskan Felda United 2-0.

Harimau Selatan tidak mengharungi permulaan musim yang baik apabila gagal menang tiga aksi terakhir termasuk dua dalam saingan kelayakan Piala AFC namun akhirnya kembali ke landasan kemenangan hasil jaringan Gabriel Guerra pada minit ke-12 dan Gonzalo Cabrera di separuh masa kedua.

Hasrat finalis musim lalu, PKNS FC mengulangi magis mereka sekali lagi tidak kesampaian apabila tersingkir seawal aksi pusingan kedua setelah tunduk 0-1 kepada Melaka United di Stadium Hang Jebat – gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain veteran, Amri Yahyah pada minit ke-66.

Kedah bimbingan Tan Cheng Hoe pula meneruskan permulaan cemerlang mereka bagi musim ini apabila mara ke pusingan ketiga setelah menundukkan Kuala Lumpur 4-2 di Stadium Darul Aman.

Gol buat skuad Lang Merah dijaringkan oleh Liridon Krasniqi, Zaiful Hakim (gol sendiri) dan Farhan Roslan (dua gol) manakala Kuala Lumpur membalas menerusi jaringan sendiri Zac Anderson dan Ibrahim Syaiful. 

Dalam pada itu di Pasir Gudang, Pahang dikerah bekerja keras bangkit daripada ketinggalan dua gol di separuh masa pertama untuk mencatat kemenangan 4-2 ke atas tuan rumah JDT II.

JDT II bimbingan Hamzani Omar mendahului setelah pemain berusia 17 tahun, Muhammad Hadi Fayyadh menjaringkan dua gol pantas pada minit ke-17 dan 20, namun skuad kendalian Dollah Salleh bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua jaringan Mohamadou Sumareh untuk kedudukan 2-2 selepas tamat 90 minit permainan.

Tok Gajah menambah dua lagi jaringan di masa tambahan menerusi Matheus Leandro dan D.Salomon Raj sekaligus mengelak menjadi satu lagi mangsa kejutan oleh skuad Liga Premier.

Jaringan tunggal Abdul Latiff Suhaimi pula membantu juara 2011, Terengganu bimbingan Irfan Bakti meneruskan kemaraan dengan menewaskan Felcra FC 1-0 di Stadium Universiti Malaya manakala aksi sembilan gol di Kuching menyaksikan Sarawak mara dengan mengetepikan MISC MIFA 6-3.

Turut meneruskan kemaraan adalah Pulau Pinang yang menundukkan MPKB-BRI-UBES 1-0 di Kota Bharu menerusi jaringan Nigel Dabinyaba pada minit ke-41. Ia bukan sahaja gol pertama sang harimau kumbang untuk musim ini, tetapi juga kemenangan pertama mereka setelah tewas kesemua empat perlawanan Liga Super. 

Aksi lain menyaksikan T-Team mara setelah menewaskan ATM 4-2 menerusi tendangan penalti, Kuantan FA mencatat kemenangan 3-0 ke atas Sime Darby, Perlis menewaskan PDRM 1-0, UITM FC menewaskan PJ Rangers 2-1, dan Sabah melangkah dengan menewaskan UKM FC 1-0.

- Advertisement -