Oleh Muhammad Aiman

Aksi pusingan kedua Liga Super kembali bersambung pada Sabtu menyaksikan keputusan luar dugaan terhasil dalam semua tiga perlawanan yang berlangsung.  

Di Stadium Hang Jebat, gol lewat permainan oleh Jeon Woo Young memastikan tuan rumah Melaka United mengikat juara Liga Super, Johor Darul Takzim dengan keputusan 1-1.

Ianya nyata prestasi yang jauh lebih baik dari skuad kendalian Eric Williams yang dibelasah 0-7 oleh JDT di Larkin ketika aksi pusingan pertama sekaligus mencatat keputusan seri ketiga berturut-turut.

JDT yang baru sahaja mengharungi aksi Piala AFC pada Rabu lalu, tetap membariskan skuad terkuat dengan penyerang berbisa, Gabriel Guerra mengetuai jentera serangan. Setelah terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama, JDT mendahului pada minit ke-59 menerusi sentuhan pemain tengah Safiq Rahim.

Di kala mereka hampir sahaja untuk melakar kemenangan kelapan berturut-turut, Woo Young meledak jaringan penyamaan untuk menyelamatkan satu mata berharga buat Melaka.

JDT kekal di tangga pertama dengan 27 mata manakala Melaka melonjak satu tangga ke tangga kesembilan dengan 11 mata.   

Di Stadium Darul Makmur, Kelantan melupakan seketika segala kontroversi yang menyelubungi mereka apabila tampil bertenaga untuk meneruskan rentak cemerlang di gelanggang lawan, mencatat kemenangan 3-2 ke atas pasukan tangga kedua, Pahang.

Ianya kemenangan kelima buat skuad Zahasmi Ismail di gelanggang lawan dan mereka juga masih belum tewas di luar Kota Bharu. Kelantan mendahului 1-0 pada minit ke-17 menerusi jaringan Alesandro Celin dan kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Matheus Alves mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-70 sebelum penyerang sensasi, Mohamed Ghaddar kembali meletakkan Kelantan mendahului dua minit kemudian.

Hanya lima minit selepas itu, kedudukan kembali terikat 2-2 sekali lagi menerusi Alves namun Ghaddar menamatkan aksi berbalas jaringan itu dengan meledak jaringan ketiga pada minit ke-79.

Dalam pada itu, di Kuala Terengganu, T-Team turut mengetepikan kontroversi pemotongan enam mata oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership baru-baru ini dengan beraksi garang untuk mencatat kemenangan 3-0 ke atas pasukan tangga keempat, Perak.

Gol buat skuad kendalian Rahmat Dermawan itu dijaringkan oleh Mamadou Samassa pada minit kesembilan, Farhod Tadjiev (m-72) dan Wan Amirzafran Nadris (m-76).

Kemenangan membolehkan T-Team memperbaiki kedudukan dengan melonjak satu tangga ke tangga ketujuh.

- Advertisement -