Melaka United menyelamatkan diri dari tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan setelah mencatat kemenangan penting 2-1 ke atas Selangor dalam aksi ke-21 Liga Super pada Rabu. 

Aksi di Stadium Hang Jebat menyaksikan Melaka beroleh jaringan menerusi Jasmin Mecinovic pada minit kelima dan Marko Simic pada minit ke-42 manakala Selangor membalas menerusi Rufino Segovia di separuh masa kedua.

Kemenangan menyaksikan pasukan bimbingan Eduardo Almeida melonjak ke tangga kelapan dengan 24 mata sekaligus keluar dari zon bahaya. Perjuangan untuk kekal di Liga Super musim depan kini menjadi saingan tiga penjuru antara T-Team, Sarawak dan Kelantan.

T-Team yang hanya memerlukan seri untuk kekal di Liga Super tewas 0-1 kepada Pahang menerusi jaringa Matheus Alves pada minit ke-79. Pasukan bimbingan Rahmat Dermawan itu kini berada di kedudukan kesembilan dengan 22 mata, tiga mata mengatasi pasukan tangga ke-11, Kelantan. 

Kemenangan buat skuad Tok Gajah membolehkan mereka mengumpul 39 mata sekaligus mengesahkan kedudukan selaku naib juara liga.

Di Kuching, Sarawak yang ketinggalan 0-2 kepada Kedah di separuh masa pertama menerusi jaringan Baddrol Bakhtiar dan Ken Ilso Larsen bangkit menjaringkan empat gol di separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan 4-2 sekaligus menghidupkan peluang untuk kekal dalam saingan Liga Super.   

Nur Syamie Iszuan memulakan kebangkitan pada minit ke-54 diikuti dua jaringan oleh Mateo Roskam pada minit ke-59 dan 64 sebelum Hairol Mokhtar melengkapkan kemenangan dan menghadiahkan tiga mata berharga.

Sarawak kini mengumpul 20 mata dan berada di kedudukan ke-10.

Di Kota Bharu, Kelantan gagal memanfaatkan kelebihan gelanggang sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang PKNS FC sekaligus menyaksikan skuad Zahasmi Ismail itu memilih jalan sukar untuk mengelak dari tersingkir ke Liga Premier.

Dengan 19 mata, Kelantan tiada pilihan selain menang ke atas Melaka dalam aksi terakhir yang akan berlangsung lebih kurang sebulan lagi tatkala Sarawak dan T-Team pula akan berentap sesama sendiri bagi menentukan nasib mereka.

Dalam satu lagi aksi, Perak mencatat kemenangan 1-0 ke atas Pulau Pinang dan menghidupkan peluang untuk menamatkan saingan liga di kedudukan tiga teratas buat kali pertama sejak 2006. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -