Lebih 110 000 telah menandatangani petisyen yang mendesak Presiden Tokyo 2020 Yoshiro Mori untuk meletakkan jawatan susulan komen kontroversinya terhadap kaum wanita.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri Jepun itu ketika Mesyuarat Jawatankuasa Olimpik Jepun (JOC) menyatakan mesyuarat tersebut mengambil masa yang terlalu lama kerana ramai kaum wanita yang berada di dalam organisasi tersebut.

“Jika jumlah eksekutif wanita ditambah, tempoh masa berucap yang tidak dikawal, mereka akan menghadapi masalah untuk menamatkannya dan ianya menjengkelkan,”kata Mori dipetik daripada akhbar tempatan, Asahi Shimbun.

Beliau bagaimanapun membuat permohonan maaf menerusi sidang media pada awal minggu ini.

Tindakannya bagaimanapun sampai ke pengetahuan Datuk Bandar Tokyo Yuriko Koike yang melabel kenyataan Mori sebagai isu besar terutama melibatkan Olimpik dan Paralimpik kelak.

Petisyen telahpun dihantar kepada Kerajaan Jepun termasuk Perdana Menteri, Yoshihide Suga dan Menteri Olimpik, Seiko Hashimoto serta Jawatankuasa Olimpik Tokyo 2020 yang juga Datuk Bandar Tokyo, Koike.

JOC dilaporkan mahu meningkatkan jumlah eksekutif wanita sebanyak 40 peratus dimana ketika ini, daripada 24 ahli Lembaga Eksekutif, 7 daripadanya merupakan kaum wanita yang berada di dalam Lembaga Eksekutif Tokyo 2020.

Selain petisyen, komen Mori juga dianggap tidak wajar oleh bintang tenis negara itu, Naomi Osaka dan mahukan penjelasan lebih lanjut tentang maksud yang ingin disampaikan.

Senario penganjuran Olimpik Tokyo 2020 juga dalam keadaan tidak menentu dimana kira kira 80 peratus rakyat dinegara itu mahukan penganjuran temasya sukan terbesar dunia itu tidak dianjurkan atau dibatalkan berikutan pandemik Covid 19 yang tidak menentu.

Daripada jumlah itu, 35 peratus mahukan ia dibatalkan sepenuhnya sementara 44.8 peratus pula memilih untuk ditunda sekali lagi.

 

- Advertisement -