Juara Kejohanan Golf 100PLUS Remaja Terbuka Malaysia 2016, Muhammad Afif Fathi tidak mahu meletakkan status sebagai pemenang edisi lalu sebagai tekanan utama menjelang kejohanan yang memasuki edisi ke 12 tahun ini.

Afif hanya mahu memberi tumpuan sepenuhnya ketika di lapangan dan meletakkan keputusan sebagai perkara kedua.

“Saya banyak memberi tumpuan terhadap putting di green untuk kejohanan ini kerana keadaan green yang agak perlahan dan selebihnya saya tidak mahu terlalu memikirkan gelaran sebagai juara bertahan.

“Saingan bagi tahun ini lebih sengit kerana ada pemain yang sedang meningkat naik ketika ini (Adam Ariff Madzri) yang memenangi kejohanan baru baru ini, justeru saya tidak memandang rendah keupayaan pemain pemain lain,”kata Afif.

Tambahnya lagi bermain di lapangan golf Glenmarie tidak banyak beza dengan Kelab Golf Templer kerana beliau sudah pernah bermain di sini sebelum ini.

Saingan lelaki bagi Kejohanan Golf 100PLUS Remaja Terbuka Malaysia 2017 akan berlangsung di Kelab Golf Glenmarie, Subang bermula 12 hingga 14 Disember.

Bagi kategori lelaki, seramai 81 pemain manakala 39 bagi penyertaan kategori wanita mengesahkan penyertaan termasuk dari luar negara antaranya Filipina, Singapura, Myanmar, Hong Kong, Pakistan, Korea Selatan dan Jepun.

Manakala juara kategori wanita, Qistina Balqis Azhar tampak berdepan dengan masalah kecergasan selepas pulih daripada kecederaan buku lali.

Balqis tidak meletakkan sebarang sasaran di kejohanan ini, dan hanya mahu memberi fokus untuk mencari rentak pukulan.

“Saya berehat panjang selepas pulih daripada kecederaan buku lali dan menjalani pembedahan untuk membuang appendiks di Johor.

“Selepas dua bulan berehat, saya kembali semula ke lapangan dan baru menyertai dua kejohanan. Untuk kejohanan di sini, saya hanya memberi tumpuan terhadap putting di green selain cuba mengurangkan tekanan kerana membawa status sebagai juara bertahan,”kata Qistina.

Mengulas tentang barisan pemain yang beraksi tahun ini, Qistina menjangkakan saingan sengit daripada pemain Filipina.

Seperti Afif, Qistina hanya mahu mengekalkan fokus untuk mencari catatan yang terbaik selain cuba menyesuaikan diri dengan keadaan di lapangan golf Glenmarie.

- Advertisement -