SELEPAS kejayaan penganjuran sejak tiga musim lepas, Kejuaraan Formula 4 Asia Tenggara (F4 SEA) FIA kembali pada 5 April ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan musim baru yang menyerlahkan berberapa rekod dan pencapaian dunia.
Kejuaraan F4 SEA 2019 sebanyak 10 siri pusingan itu akan menampilkan jumlah perlumbaan paling besar iaitu 40 perlumbaan, paling banyak yang pernah dianjurkan dalam Kejuaraan F4 termasuk di United Kingdom dan Jerman. Kejuaraan musim ini akan berlangsung di litar di Malaysia, Thailand, India dan Filipina.
“Sejak siri pertama pada 2016, ini kali pertama Kejuaraan F4 SEA menampilkan perlumbaan 10 pusingan. Memang jadual perlumbaan amat ketat dan kompetitif tetapi inilah yang diperlukan oleh pemandu muda untuk menjadi pemandu yang hebat,” kata promoter Formula 4 SEA, Peter Thompson, hari ini.
“Setiap pusingan di litar tuan rumah akan menampilkan beberapa perlumbaan pada hujung minggu berkenaan. Kesemuanya, sebanyak 40 perlumbaan akan diadakan. Jumlah perlumbaan ini adalah jumlah terbanyak dan merupakan satu pencapaian rekod dunia dalam Kejuaraan F4 tahun ini,” jelas Thompson.
“Para peminat F4 SEA juga pasti teruja kerana boleh mengikuti semua aksi 40 perlumbaan ini menerusi penstriman secara langsung atau live streaming. Saya percaya ini juga satu rekod dunia bagai acara yang disiar secara penstriman langsung bagi F4,” kata Thompson sambil menambahkata, pihaknya kini sedang menguruskan mengenai saluran-saluran televisyen untuk siaran langsung kejohanan tersebut.
Dua pusingan pertama bagi musim baru ini akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 5-7 April (Pusingan 1) dan 19-21 April (Pusingan 2).
Pusingan berikutnya dari 10-12 Mei (Pusingan 3) dan 7-9 Jun (Pusingan 4) di Litar Buriram, Thailand sebelum menuju ke Madras, India (Pusingan 5 dan 6) pada 12-14 Julai dan 19-21 Julai.
Pelumba akan kembali ke Litar Sepang untuk Pusingan 7 pada 23-25 Ogos dan pada 27-29 September (Pusingan 8). Pusingan kemuncak akan berlangsung di Filipina dari 15-17 November (Pusingan 9) dan 22-24 November (Pusingan 10).
Yang pasti, dengan berlangsungnya jumlah perlumbaan F4 paling besar itu, musim baru nanti menjanjikan aksi padat yang bakal menyaksikan pemandu berlumba berhabis-habisan untuk mengisi kedudukan teratas. Para pemandu yang berjaya akan meraih ganjaran istimewa mendapat peluang melawat dan mendapat pendedahan berguna di fasiliti F1 McLaren di England.
Thompson optimis terhadap masa depan Kejuaraan F4 SEA dan berkata: “F4 bukan sahaja membantu mengasah bakat pelumba untuk meningkat ke peringkat seterusnya, tetapi juga membuka laluan untuk pelbagai kerjaya lain termasuklah juruteknik, mekanik, jurutera, jurukamera, wartawan dan juga penerbit televisyen.”
KALENDAR KEJUARAAN F4 SEA FIA 2019
PUSINGAN | TARIKH | NEGARA | LITAR | PERLUMBAAN |
1 | 5-7 Apr | Malaysia | Sepang | 1 hingga 4 |
2 | 19-21 Apr | Malaysia | Sepang | 5 – 8 |
3 | 10-12 Mei | Thailand | Buriram | 9 – 12 |
4 | 7-9 Jun | Thailand | Buriram | 13 – 16 |
5 | 12-14 Julai | India | Madras | 17 – 20 |
6 | 19-21 Julai | India | Madras | 21 – 24 |
7 | Aug 23-25 | Malaysia | Sepang | 25 – 28 |
8 | 27-29 Sept | Malaysia | Sepang | 29 – 32 |
9 | 15-17 Nov | Filipina | Clark | 33 – 36 |
10 | 22-24 Nov | Filipina | Clark | 37 – 40 |