N.Sembilan muncul pendahulu awal 100 Plus Liga Premier tewaskan Sabah 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Kredit Foto – Facebook – Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan – RASMI

Oleh Muhammad Aiman

Saingan 100 Plus Liga Premier yang membuka tirai pada Jumaat menyaksikan Negeri Sembilan muncul pendahulu awal liga setelah mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Sabah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Ketiga-tiga gol skuad Hoben Jang Hoben dijaringkan di separuh masa pertama, dengan penyerang import Suzuki Castanheira muncul wira setelah meledak hatrik pada minit ke-15, 25 dan 39.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membuka kempen dengan nota kemenangan setelah menundukkan pendatang baru Liga Premier, MISC-MIFA 3-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Gol buat skuad bimbingan Fauzi Pilus itu dijaringkan Dao Bakary seawal minit pertama, diikuti jaringan Shahurain Abu Samah pada minit ke-25 sebelum Bakary sekali lagi menemui gawang pada minit ke-48.

Gol saguhati buat MIFA bimbingan Jacob Joseph dijaringkan M.Yoges pada minit ke-52.
Sementara itu, di Stadium Selayang, Kuala Lumpur bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Johor Darul Takzim II.

JDT II mendahului pada minit ke-10 menerusi Nicholas Fernandez namun skuad warga kota menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-20 menerusi penyudah Bobirjan Akbarov dan gol kemenangan dijaringkan Ibrahim Syaiful pada minit ke-30.

Terdahulu dalam aksi berlangsung petang, tuan rumah Perlis dikerah bekerja keras sebelum berjaya mencuri satu mata dari Angkatan Tentera Malaysia di Stadium Tunku Syed Putra.

ATM mendahului menerusi jaringan Rafizol Roslan pada minit ke-37 namun hasrat mengutip tiga mata tidak kesampaian setelah Singa Utara beroleh gol penyamaan di minit akhir permainan hasil sentuhan Zafuan Azeman.

Dalam pada itu, dua perlawanan iaitu membabitkan Terengganu menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Kuantan FA menentang Uitm FC terpaksa dihentikan kerana padang ditakungi air dek hujan lebat sebelum dan sepanjang perlawanan berlangsung.

- Advertisement -