Kedah ikat JDT di Larkin, bawa pulang Piala Sultan Ahmad Shah
Kedah ikat JDT di Larkin, bawa pulang Piala Sultan Ahmad Shah

Oleh Muhammad Aiman

Kedah menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah setelah menewaskan Johor Darul Takzim 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan sumbangsih yang juga perlawanan pembuka tirai Liga Super 2017 di Stadium Larkin.

Farhan Roslan, Akram Mahinan, Ken Ilso Larsen, Baddrol Bakhtiar dan Liridon Krasniqi menyempurnakan kesemua lima sepakan buat Lang Merah tatkala penjaga gol mereka, Abdul Hadi Hamid muncul wira setelah menyelamatkan tendangan Brian Frederico Ferreira sekaligus membolehkan Kedah bergelar juara Piala SAS buat kali ketiga.

Perlawanan masa sebenar sebelum itu berkesudahan seri 1-1 menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata. JDT mendahului pada minit ke-40 setelah ketua pasukan Safiq Rahim menyempurnakan penalti – penalti dihadiahkan pengadil Suhaimi Mat Hassan setelah Brian Ferreira dijatuhkan Asri Marzuki di dalam kotak penalti.

Lima minit kemudian, Harimau Selatan terpaksa beraksi 10 pemain setelah pemain pertahanan S.Kunanlan dilayangkan kad kuning kedua dan diperintah keluar padang gara-gara kekasaran ke atas Ken Ilso. Kelebihan seorang pemain dimanfaatkan Kedah untuk tampil lebih dominan di separuh masa kedua dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan cantik Baddrol dari jarak 30 meter.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun gagal mencari tambahan jaringan selepas itu dengan aksi berlangsung hambar tanpa banyak peluang mahupun gerakan berbahaya. Bagi JDT bimbingan Benjamin Mora, keputusan itu menyaksikan mereka melebarkan rekod tanpa kalah di Larkin kepada 34 perlawanan manakala bagi skuad Tan Cheng Hoe, ini kali pertama mereka berjaya mengelak kekalahan di Larkin dalam lima pertemuan sejak 2012.

Baki lima lagi perlawanan Liga Super, akan berlangsung pada Sabtu dengan Kelantan berdepan Melaka, Felda bertemu PKNS, T-Team melayan kunjungan Sarawak, Selangor menentang Pulau Pinang dan Perak menentang Pahang.

- Advertisement -