Segala-galanya telah sempurna daripada segi persembahan namun ketumpulan penyudah membuatkan Terengganu FC terpaksa menggigit jari apabila sekadar seri tanpa jaringan berdepan Negeri Sembilan FC pada Rabu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, mengakui satu kerugian buat mereka tidak mencapai kemenangan kerana bermain di laman sendiri.

Tambahnya, pemain telah menunjukkan peningkatan serta motivasi yang sangat baik berbanding semasa tewas 1-2 kepada Penang FC tetapi belum mencukupi bagi menumbangkan kekentalan benteng Negeri Sembilan.

” Melihatkan keputusan hari ini, rasa rugi sangat terlepas tiga mata biarpun secara keseluruhan kita telah beraksi dengan sangat baik.

” Dari minit pertama, walaupun keadaan padang basah ekoran hujan lebat,saya tidak mahu memperkatakan apa-apa tentang persembahan pemain kecuali meletakkan bola dalam jaring.

” Saya tahu bukan mudah jaringkan gol dan kena selalu mencipta peluang tetapi bila dapat perlawanan yang susah untuk dapatkan peluang, kami kena guna sebaiknya.

” Jadi kami kena tingkatkan lagi aspek penyudah bagi perlawanan akan datang dan berdepan Sri Pahang pada perlawanan akan datang, kami tidak boleh lagi keciciran mata,” katanya.

Terengganu mendapat dua peluang terbaik di separuh masa pertama melalui Tchetche Kipre pada minit-13 selain Kpah Sherman,di minit 36.

Menjelang 10 minit terakhir separuh masa kedua, Faisal Halim dan Manuel Ott berpeluang memecahkan kebuntuan namun kecemerlangan Ahmad Syihan Hazmi mengecewakan tuan rumah.

Keputusan seri itu meletakkan Terengganu di tangga ketujuh dengan pungutan 10 mata setelah beraksi dalam tujuh perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K.Devan, berpuas hati kerana pemain-pemainnya berjaya mengutip satu mata.

Baginya, bukan sesuatu yang mudah untuk mana-mana pasukan mendapatkan mata apabila berdepan Terengganu di Gong Badak.

” Terima kasih kepada pemain-pemain yang telah bekerja keras dan bertahan dengan baik sepanjang 90 minit bagi mendapatkan keputusan ini.

” Pada separuh masa pertama, saya memang arahkan pemain lebih banyak bertahan di kawasan sendiri kerana kami baru sahaja beraksi tiga hari lepas bertemu Sri Pahang, saya mahu pemain menyimpan tenaga di babak kedua.

” Terengganu jelas ada kelebihan berbanding kami kerana ada rehat selama seminggu namun pemain berjaya atasinya dengan kesungguhan serta komitmen dalam mengikuti taktikal dan disiplin semasa bertahan, ” katanya.

- Advertisement -