natasha

Oleh Muhammad Aiman

Tiada kata-kata yang boleh menterjemahkan kegembiraan atlet boling negara, Natasha Roslan setelah mencipta kejutan memenangi pingat emas Kejohanan Boling Remaja Dunia di Nebraska, Amerika Syarikat pada Selasa lalu.

Atlet berusia 20 tahun itu menjelaskan dia ibarat terbang di awangan setelah mencatat kemenangan 190-158, 236-245, 227-187 ke atas pemain Singapura, Amabel Chua dalam aksi final Masters di Sun Valley Lanes sekaligus menamatkan kemarau emas lapan tahun Malaysia di kejohanan itu.

“Saya tak tahu nak cakap apa, gembira sangat-sangat. Dua tahun lalu di Hong Kong saya tidak menang apa-apa, jadi bila datang ke sini kali ini saya sasarkan nak menang apa sahaja pingat, asalkan tidak pulang dengan tangan kosong.

“Ketika menang pingat gangsa dalam acara berpasukan, saya anggap misi saya telah tercapai. Saya langsung tidak menjangka boleh layak sehingga ke final Masters dan kemudiannya muncul juara. Ia sememangnya luar dari sasaran saya,” kata Natasha.

Untuk rekod, Natasha bersama-sama Victoria Chin, Syazwani Sahar dan Nora Lyana Nastasia Norkamal menghadiahkan gangsa buat pasukan negara sehari sebelumnya.  

“Tahun ini memang tahun yang cukup menakjubkan buat saya, pastinya saya tidak mahu berhenti di sini dan harapkan lebih banyak kejayaan selepas ini,” ujar Natasha yang turut bergelar juara Terbuka Kebangsaan pada Mac lalu.  

Selain pingat emas Natasha, Malaysia turut menambah satu lagi pingat gangsa pada hari terakhir kejohanan menerusi Tun Hakim Tun Hasnul Azam dalam acara Masters lelaki.

Langkahan cemerlang atlet berusia 17 tahun yang membuat penampilan sulung itu berakhir dengan kekalahan 161-233, 205-221 kepada atlet Sweden, Pontus Andersson di separuh akhir.

“Saya berpuas hati dengan prestasi sepanjang minggu ini, Saya memenangi perak (acara beregu lelaki bersama Rafiq Ismail) dan gangsa dalam penampilan pertama saya. Ini adalah pencapaian terbaik saya bagi tahun ini,” ujar juara Terbuka Remaja Thailand itu.

Secara keseluruhannya, Malaysia menamatkan kejohanan dengan satu emas, dua perak dan tiga gangsa dan berkesudahan di tempat ketiga, di belakang Amerika Syarikat (6-3-4) dan Korea Selatan (2-1-0).

Pasukan kebangsaan dijangka tiba di tanah air pada Jumaat (4 Ogos) malam. 

- Advertisement -