Oleh Muhammad Aiman
Dua atlet olahraga negara, Nauraj Singh Randhawa dan Muhammad Hakimi Ismail berpeluang untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Rio De Janeiro yang akan berlangsung pada Ogos depan, demikian menurut Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim.
KOM mempunyai masa sehingga 12 Julai untuk menyenaraikan atletnya yang layak secara merit bertanding di temasya sukan terbesar dunia itu, dan buat masa ini Karim berpendapat hanya Nauraj, atlet lompat tinggi serta Hakimi, atlet lompat kijang mempunyai potensi cerah berbanding atlet lain berdasarkan kepada prestasi semasa.
“Mereka ada tempoh masa kurang 3 bulan sahaja lagi untuk memburu tempat secara merit jadi dalam tempoh ini kita mungkin akan menghantar mereka bertanding di Amerika atau Eropah dan cuba untuk melepasi had kelayakan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan MOM.
“Kita juga telah menyenaraikan mereka dalam Kejohanan Olahraga Grand Prix Asia, tetapi ianya telah dibatalkan jadi kita akan fokus pada beberapa kejohanan lain,” jelas Karim.
Tambahnya lagi, “Jika masih tiada atlet yang layak secara merit sehingga ke tarikh akhir tersebut, maka kita akan menyenaraikan masing-masing seorang atlet lelaki dan wanita menerusi penyertaan wild card,” menurut Karim.
Untuk rekod, Nauraj mencipta kejutan di Australia bulan lalu apabila meraih emas acara lompat tinggi di Kejohanan Canberra Track Classic dengan lompatan 2.25m yang sekaligus memadam rekod lama 2.22m. Â
Hakimi pula meraih pingat emas di Sukan Sea Singapura tahun lalu dengan lompatan sejauh 16.76m, yang memadam rekod lama temasya 16.51m dipegang oleh atlet Thailand Theerayut Philakong.
Kali terakhir atlet olahraga negara layak secara merit untuk beraksi di Sukan Olimpik adalah di Beijing 2008 menerusi Yuan Yufang (Jalan Kaki), Roslinda Samsu (Lompat Galah) dan Lee Hup Wei (Lompat Tinggi) manakala ketika di London 2012, Noraseela Khalid dan Hup Wei disenaraikan bertanding atas tiket wild card.Â