Aksi Nauraj Singh Randhawa setelah memenangi acara di Kejohanan Sukan SEA 2015 di Singapura. Kredit Photo - TheStar.com.my

Aksi Nauraj Singh Randhawa setelah memenangi acara di Kejohanan Sukan SEA 2015 di Singapura. Kredit Photo – TheStar.com.my

 

Oleh Muhammad Aiman

Atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa muncul atlet terbaru untuk layak secara merit beraksi di temasya Sukan Olimpik Rio De Janeiro Ogos depan setelah meraih pingat emas di Kejohanan Terbuka Singapura dengan melakukan lompatan setinggi 2.29m yang juga had kelayakan minima Sukan Olimpik.

Catatan itu bukan sahaja menyaksikan Nauraj memadam rekod peribadi 2.25m miliknya, tetapi turut memperbaharui rekod kebangsaan 2.27m yang dipegang selama 8 tahun oleh jaguh lompat tinggi kebangsaan, Lee Hup Wei.

Kejayaan Nauraj menjadikannya atlet ke-13 untuk melayakkan diri ke temasya berprestij dunia itu selepas Pandalela Renong, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng, Ooi Tze Liang, dan Cheong Jun Hoong (terjun), Welson Sim (renang), Khairul Anuar Mohamad (memanah), Jonathan Wong (menembak), Azizulhasni Awang dan Nur Fatehah Mustapa (berbasikal)serta Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Md Latiff (perahu layar).

Nauraj sememangnya diletakkan sebagai sandaran utama Kesatuan Olahraga Malaysia untuk merebut tiket ke Olimpik setelah atlet yang merupakan pemenang dua kali emas Sukan Sea itu menunjukkan peningkatan cemerlang sejak kebelakangan ini termasuk meraih emas di Kejohanan Canberra Track Classic pada Februari lalu.

Dalam satu kenyataan ringkas, Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata, “Tahniah kepada Nauraj, maka tiada lagi cakap-cakap mengenai tiket wild card kerana kita sudah ada yang layak secara merit. Kita tetap berharap akan ada beberapa atlet akan menyusuli dia selepas ini.”

- Advertisement -