100PLUS.latestOleh Muhammad Aiman

Negeri Sembilan melonjak ke tangga teratas 100PLUS Liga Premier sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam setelah bangkit dari ketinggalan untuk menundukkan Uitm FC 4-2 di Paroi.

Dalam perlawanan yang menyaksikan kesemua enam jaringan terhasil di babak pertama, Uitm terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Wan Khairil Azwa pada minit keenam.

Tuan rumah bagaimanapun membalas menerusi dua jaringan Andrew Nabbout pada minit ke-16 dan 25 sebelum Wan Khairil kembali menyamakan kedudukan buat Uitm 2-2.

Afiq Azmi kemudiannya muncul wira apabila meledak dua gol pantas untuk menghadiahkan Negeri Sembilan tiga mata berharga yang membolehkan mereka melonjak ke tangga teratas dengan 25 mata.

Johor Darul Takzim II turut cemerlang apabila merakam kemenangan 4-1 ke atas Kuantan FA di Pasir Gudang untuk melonjak ke tangga kedua liga.

Kesemua jaringan terhasil di babak kedua dengan Zaquan Adha mencuri tumpuan setelah meledak jaringan hatrik manakala satu lagi gol JDT II dijaringkan Paolo Rangel.

Gol saguhati buat pelawat dijaringkan Norfahmie Hadzrin.

Kuala Lumpur pula gagal mengambil kesempatan untuk melonjak selaku pendahulu apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Sime Darby di Selayang, dan tergelincir ke tangga ketiga.

Sime Darby mendahului 1-0 pada minit ke-62 namun A.Tamil Arasu menyelamatkan satu mata buat skuad Ismail Zakaria menerusi jaringan penyamaan pada masa kecederaan.

Naib juara Piala FA, PKNS garang membelasah DRB Hicom 5-0 untuk mengukuhkan kedudukan mereka di tangga keempat.

Jaringan penalti minit ketiga Gabriel Guerra dan dua lagi gol menerusi Matias Jadue dan Manuel Cobelli memberikan PKNS kelebihan 3-0 di babak pertama.

Cobelli dan Guerra menambah dua lagi jaringan untuk kemenangan mutlak 5-0 buat PKNS.

Terdahulu dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di sebelah petang, Perlis membalas dendam kekalahan di aksi terakhir pusingan kepada Sabah, dengan mencatat kemenangan 2-0 ke atas pasukan itu.

Gol seawal minit keempat jaringan Edward Wilson Junior dan Fandi Ahmad seminit sebelum tamat permainan memberikan anak buah Dollah Salleh kemenangan moral yang cukup penting untuk terus memperbaiki prestasi pada baki 10 perlawanan terakhir.

Dengan 15 mata, Perlis melonjak ke kedudukan ketujuh Liga Premier.

Melaka akan menentang ATM dalam satu lagi perlawanan di Stadium Hang Jebat pada hari Sabtu.

- Advertisement -