Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria melontarkan cabaran kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) agar dapat membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang dapat meruntuhkan dominasi Thailand. 

“Saya cukup teruja melihat kejayaan menoktahkan penantian 24 tahun memenangi emas di Sukan Asia Jakarta-Palembang tempoh hari, kejayaan yang diraikan dengan air mata pegawai pasukan dan juga pemain. Satu hari nanti saya mahu lihat kita mengulangi kejayaan ini dengan menewaskan Thailand yang merupakan raja Asia dan sudah tentunya ia akan menjadi lebih manis.

“Saya mahu PSM menjadikan STL (Sepaktakraw League) sebagai medan terbaik untuk mengetengahkan pemain-pemain berkualiti untuk merealisasikan hasrat itu dan ini adalah cabaran saya kepada mereka,” ujar Norza selepas merasmikan Sepaktakraw League 2018 di Cyberjaya.

Saingan STL 2018 membuka tirainya secara rasmi bermula Jumaat  menyaksikan venue baru, House of Champions, Gem In Mall, Cyberjaya menjadi medan pertarungan memburu pengiktirafan. 

Penganjuran yang memasuki edisi kelima ini menjanjikan saingan lebih sengit dengan kelibat lima pemain kebangsaan yang berjaya membawa pulang emas dalam acara antara regu di Sukan Asia pada Ogos lalu antara yang bakal mencuri tumpuan peminat.

Tumpuan juga sudah tentu terarah kepada keupayaan Penang Black Panthers yang turun dengan misi mengekalkan kejuaraan Divisyen Premier buat kali ketiga berturut-turut. Mereka turut diperkuatkan apit kanan pasukan kebangsaan, Azlan Alias dan juga tekong, Syahir Rosdi. 

Norza mengakui STL memainkan peranan cukup besar melangkaui sukan sepaktakraw, terutama di dalam menyatu padukan seluruh rakyat Malaysia

“Kita dapat saksikan menerusi kehebatan pemain – pemain daripada STL yang mewakili negara memenangi pingat emas Sukan Asia yang turut didokong sokongan padu seluruh lapisan masyarakat ketika mereka berjuang di Indonesia.”

“Dengan adanya liga seperti ini juga dapat memberi pendedahan, pengalaman dan aksi kompetitif kepada para pemain selain membantu mengesan bakat baru untuk diketengahkan,” katanya.

Bagi Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, beliau yakin saingan liga akan menjadi semakin menarik dan mencabar dapat disaksikan pada edisi kali ini. 

“Kita di PSM sentiasa mahu melihat ada anjakkan positif berlaku pada setiap tahun, kita tidak boleh kekal di takuk yang sama dan menjadikan setiap penganjuran itu sebagai satu penanda aras dan berterusan membuat penambahbaikkan.

“Saya teruja untuk menyaksikan saingan STL kali ini dan menharapkan 10 minggu yang menghiburkan dengan 20 pasukan mengambil bahagian dengan penyertaan empat  kelab terbaik yang dijemput dari negara serantau bakal berentap bersama pasukan-pasukan terbaik dari liga ini nanti.

“Saingan sengit Divisyen Premier juga dapat dilihat dengan penambahan dua pasukan yang pertama kali berentap iaitu Melaka Titans dan PDRM Defenders menjadikan 10 pasukan berbanding lapan pasukan pada musim lalu,” katanya.

STL Divisyen Premier dijadual berlangsung selama lapan minggu sehingga 25 November sementara Divisyen Satu selama tiga minggu dari 9 – 25 November.

Piala Juara STL pula membabitkan empat pasukan terbaik Divisyen Premier dan empat pasukan jemputan antarabangsa akan berlangsung dari 7 – 16 Disember sekaligus menjadi penutup kepada saingan STL 2018.

Sebagai rekod, STL dianjurkan sejak 2014 menerusi inisiatif Astro dan PSM bertujuan untuk menyediakan liga berkualiti buat pemain-pemain memperagakan bakat mereka sekaligus menjadi instrumental di dalam menjamin kesinambungan pemain untuk mewakili negara

Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay pula berkata,  Astro sentiasa komited menjadi rakan kongsi  untuk jangka masa panjang terhadap sukan yang disiarkan seperti STL yang telah dilancarkan sejak 2014 dengan kerjasama strategik PSM.

“Selepas empat musim, revolusi sepaktakraw melalui STL cukup menakjubkan. Usaha untuk mermatabatkan sukan ini, khususnya dalam menarik lebih ramai penonton dan peminat terhadap sukan ini menerima rangsangan pantas daripada khalayak dengan jumlah tontonan yang meningkat setiap tahun di mana siaran langsung STL 2017 mencecah 4.4 juta penonton.

“Ini adalah momentum yang cukup baik ditambah dengan keghairahan peminat terhadap sukan sepaktakraw pada Sukan Asia yang lalu. Ini terbukti apabila rating tertinggi keseluruhan 443 ribu penonton menyaksikan skuad regu negara mengakhiri kemarau emas 24 tahun. Sementara, rekod pendigitalan mencatat 3 juta peminat menyaksikan aksi bersejarah itu di laman sosial media Astro Arena,” katanya.

“Kami juga berasa bangga melihat ramai pemain kebangsaan telah beraksi di STL sejak dari edisi pertama dan saya percaya akan lebih ramai bakat baru dapat dilahirkan di liga ini. Saya berharap aura positif ini dapat diteruskan dan mendapat sokongan semua pihak termasuk penglibatan sektor korporat dalam menaikkan lagi standard STL dan sepaktakraw di Malaysia ke peringkat global,” katanya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -