Oleh Muhammad Aiman
Tiada kelibat wakil negara dalam acara 10m platform individu wanita Kejohanan Siri Terjun Dunia FINA di Guangzhou, China setelah sandaran utama, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri masing-masing kandas di peringkat separuh akhir.
Pandelela yang menghadiahkan pingat gangsa menerusi acara 10m platform seirama bersama gandingannya Cheong Jun Hoong pada Khamis, berputih mata apabila menduduki kedudukan tercorot dari lima penerjun di separuh akhir pertama dengan mengumpul 338.35 mata.
Hanya tiga penerjun teratas sahaja mara ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung pada Sabtu. Pandelela hanya dibezakan dua mata sahaja di belakang Luliia Timoshinina dari Russia yang menduduki tempat ketiga dengan 340.20 mata.
Nur Dhabitah pula menduduki tempat keempat dalam satu lagi peringkat separuh akhir berlangsung di Swimming Natatorium, Pusat Sukan Olimpik dengan mengumpul 302.10 mata.
Enam peserta yang akan berentap di peringkat akhir nanti ialah Yajie Si, Qian Ren (China), Megan Benfeito (Kanada), Tarin Gilliland (Amerika), Kim Kuk Hyang (Korea) dan Timoshinina (Russia).
Ia kecewa berganda buat Nur Dhabitah yang terlepas kedudukan podium pada Jumaat, apabila gandingannya bersama Wendy Ng Yan Yee sekadar menduduki tempat keempat dalam acara 3m terjun seirama.
Pusingan ketiga Siri Terjun Dunia akan berlangsung pula di Kazan, Russia dari 31 Mac – 3 April manakala pusingan terakhir akan berlangsung di Windsor, Kanada pada 21 – 24 April.