Pasukan tenpin boling paralimpik negara meletak sasaran untuk memenangi 13 daripada 18 emas yang dipertandingkan di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 yang akan berlangsung bermula 17 September depan.

Pada edisi 2015 di Singapura, Malaysia muncul juara keseluruhan tenpin boling dengan kutipan lapan emas, tujuh perak dan empat gangsa dari 14 acara yang dipertandingkan.

Justeru dengan mempertaruhkan sebahagian besar atlet sama yang beraksi dua tahun lalu serta pencapaian memberansangkan di Kejohanan  Dunia IPSA di Jepun Mac lalu, jurulatih Steven Teng Che Man percaya dominasi Malaysia di temasya itu dapat diteruskan.

“Kita senaraikan 28 atlet iaitu 23 lelaki dan 5 wanita untuk mengambil bahagian dalam 7 kategori. 20 daripadanya adalah wajah lama manakala lapan adalah muka baru. Dengan persiapan dan pendedahan yang telah mereka dapat, saya percaya kita boleh atasi pencapaian lalu,” kata Steven.

Mengenai kategori yang dijangka menjadi kekuatan pasukan negara, Steven berkata semua mempunyai peluang sama rata kategori TPB4 (cacat intelektual).

“Pasukan kita kali ini kuat, di mana kita telah memperkuatkan lagi beberapa acara seperti TPB1 (cacat penglihatan), TPB9 (kudung kaki) dan TPB10 (kudung tangan). Rekod pertemuan dengan pencabar-pencabar dari Asia Tenggara seperti Thailand juga agak bagus.

“Hanya beberapa acara baru seperti TPB4 kita tidak boleh letakkan sasaran tepat kerana kita tidak pernah hantar atlet ke luar negara bagi kategori ini dan kita juga tidak ketahui kekuatan atlet dari negara lain. Selebihnya, kita berada di landasan tepat,” ujar Steven.

Untuk rekod, tenpin boling adalah satu daripada empat sukan yang disasarkan sebagai lubuk emas kontijen paralimpik negara di Para ASEAN KL 2017 oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagi merealisasikan hasrat muncul juara keseluruhan buat kali kedua selepas 2001.OLEH MUHAMMAD AIMAN 

                                                 

 

- Advertisement -