Oleh Ku Mohd Lufti

Impian untuk melihat pasukan lelaki dan wanita negara yang beraksi di kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Asia ke 18 di Hong Kong meraih podium selaku juara tidak kesampaian.

Hanya skuad wanita sahaja yang muncul juara selepas menewaskan tuan rumah Hong Kong dengan kemenangan 2-0.

Skuad wanita negara yang dilabel selaku pilihan pertama meraih mata pertama menerusi S. Sivasangari yang menumpaskan Hiu Lam Liu dalam pertarungan empat set, 11-5, 11-5, 9-11, 11-5.

Kemenangan S Sivasangari jelas menyuntik semangat Andrea Lee yang memastikan kemenangan kedua Malaysia selepas menundukkan Cheng Nga Ching dengan keputusan straight set 11-9, 11-6, 11-13, 11-4.

Kegembiraan jelas terukir di wajah jurulatih negara, Andrew Cross yang memuji persembahan pemain wanita negara  yang bijak menyerap asakan khususnya penyokong peyokong tuan rumah. 

“Pemain-pemain wanita negara menampilkan aksi terbaik. Banyak tekanan termasuk berdepan pasukan Hong Kong yang mendapat sokongan padu daripada penyokong tuan rumah setiap kali mereka mendapat mata.

“Keadaan itu pengalaman yang baik kepada pemain. Sivasangari beraksi lebih baik untuk menebus kekecewaan sementara Andrea benar-benar menampilkan aksi yang terbaik,” kata Andrew.

Dalam pada itu, nasib tidak menyebelahi pasukan lelaki negara yang gagal mempertahankan gelaran apabila tumpas 0-2 kepada pilihan utama kejohanan, India.

Wakil India yang sedang meningkat naik, Velavan Senthilkumar tidak berdepan masalah untuk menjinakkan Ong Sai Hung straight set 12-10, 11-0, 11-2.

Malaysia hampir menyamakan kedudukan, apabila Darren Rahul gagal mengekal rentak kemenangan di dua set pertama sebelum tewas dalam aksi lima set, 12-10,11- 7, 5-11,12- 14,6- 11.

- Advertisement -