Maxsius Mus
Maxsius Mus

Oleh Ku Mohd Lufti

Jawatankuasa Tatatertib FAM memutuskan untuk mengenakan hukuman penggantungan selama tujuh bulan ke atas pegawai pasukan Kuantan FA, Zulhamizan Zakariah dan denda RM3,000.

Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bermesyuarat pada 30 Mac mendapati Zulhamizan telah melanggar Artikel 51.1 (a) & (b) Kod Tatatertib FAM 2015′  berkenaan ‘Salahlaku terhadap pegawai perlawanan’ dan dibaca bersama dengan ‘Artikel 59 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Kelakuan yang menyinggung dan fair play’.

Zulhamizan berkelakuan ganas terhadap pegawai perlawanan  dan mengeluarkan kata kata kesat serta menunjukkan isyarat lucah terhadap pengadil ketika perlawanan antara pasukan UiTM FC dan Kuantan FA di Stadium UiTM, Shah Alam pada 26 Februari lalu.

Beliau juga mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai perlawanan ketika perlawanan Piala FA antara pasukan Perak dan Kuantan FA di Stadium Perak, Ipoh pada 5 Mac lalu.

Hukuman turut dikenakan kepada pemain Sabah, Maxsius Mus yang digantung empat perlawanan serta denda RM2,000.

Maxsius didapati bersalah menunjukkan isyarat lucah ke atas pengadil perlawanan ketika aksi Sabah menentang Melaka di Stadium Likas pada 11 Mac lalu.

Pemain import Kuala Lumpur, Mario Marlovic dan Azmizi Azmi pula digantung dua perlawanan.

Mario digantung kerana berkelakuan ganas terhadap pemain Perlis pada aksi Piala FA di Kangar pada 5 Mac lalu, manakala Azmizi Azmi berkelakuan ganas terhadap pemain Kuala Lumpur pada aksi Piala FA di Kangar pada 5 Mac lalu.

- Advertisement -