IMG20160331102351-3

Oleh Ku Mohd Lufti

Skuad lebuhraya Malaysia memulakan aksi sulung di pentas antarabangsa tahun ini di Kejohanan Lumba Berbasikal Jelajah Thailand 2016.

Dibawah kendalian Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan, optimis anak buahnya mampu melakar kejutan termasuk menang sekurang-kurangnya satu perlumbaan peringkat.

Malaysia diperkuatkan dengan tiga pelumba berpengalaman, Loh Sea Keong, Amir Mustafa Rusli dan Nik Mohamad Azwan Zulkiflie disamping gandingan pelumba dalam pembikinan, Che Ku Mohammad Syamil Che Ku Romli serta Mohammad Nor Aiman Mohd Zariff.

“Saya menaruh harapan tinggi iaitu menang satu perlumbaan peringkat. Saya percaya sama ada Sea Keong atau Amir Mustafa mampu untuk mencuri tumpuan pada perlumbaan Jelajah Thailand. Namun Che Ku Mohammad Syamil juga bukan sembarang pelumba. Che Ku pernah dapat tempat kedua Tour of Siak. Manakala Mohammad Nor Aiman buktikan dia berjaya tamatkan perlumbaan pada Le Tour de Langkawi 2016.’ Kata Syed Hussaini.

Jelajah Thailand 2016 melibatkan kayuhan sejauh 995.5 kilometer dengan enam peringkat perlu diharungi oleh 20 pasukan daripada sembilan negara.

Peringkat kelima merupakan jarak terpanjang bagi jelajah tahun ini dari Nong Khai ke Loei dengan jarak 231.2 km bakal menjanjikan cabaran getir kepada semua pelumba.

Antara pasukan yang mengambil bahagian adalah Attaque Team Gusto Cycling, Aisan Racing , Holland Regio Cycling , Tabriz Petrochemical , VINO-4 Ever; Shimano Racing , LUVshan Landscape dan Terengganu Cycling, TSG.

- Advertisement -