Melaka terus tidak tercabar di kedudukan teratas Liga Futsal Kebangsaan setelah tampil dominan melakar dua kemenangan 8-3 masing-masing ke atas Pulau Pinang MBPP dan Terengganu FC pada minggu keenam saingan yang berakhir Ahad.

Pasukan bimbingan Mohamad I’sah Abdul Rahim itu yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Kelab Jemputan AFF 2018 di Indonesia pada minggu lalu ketika ini sedang menerajui carta liga dengan 36 mata setelah menang kesemua 12 perlawanan yang telah diharungi.

Mereka berkelebihan 12 mata mengatasi pasukan tangga kedua Selangor MPSJ United – jurang yang besar itu menunjukkan betapa Melaka berada dalam kelas tersendiri dan ianya jelas dibantu oleh limpahan pemain kebangsaan dalam skuad mereka.

Ketika menewaskan MBPP, tujuh gol mereka dijaringkan oleh pemain kebangsaan iaitu Azri Rahman, Khairul Effendy Bahrin, Saifulnizam Mohd Ali (kesemuanya dua gol) dan satu oleh Azwann Ismail. Satu gol lagi dijaringkan pemain veteran yang juga kapten pasukan, Jamaludin Alias.

Manakala ketika menewaskan Terengganu, Khairul Effendy menjaringkan dua gol sementara Saifulnizam dan Abu Hanifah Hassan masing-masing satu. Pemain B-20 kebangsaan Saad Sani menjaringkan dua gol, bekas pemain kebangsaan Firdaus Ambiah menjaringkan satu gol manakala satu lagi adalah jaringan sendiri pemain Terengganu.

“Walaupun menang besar, tetapi perlawanan agak mendebarkan dan syabas kepada pemain kerana bijak mengawal keadaan dan tempo permainan dan kembali menunjukkan rentak permainan mereka untuk menjarakkan kedudukan. Pemain-pemain kebangsaan terutamanya tidak pernah mengecewakan dan sentiasa berikan yang terbaik,” kata I’sah.

Sementara itu, Selangor United turut melakar dua kemenangan masing-masing ke atas Kuala Lumpur dan KL City FC untuk mengukuhkan cengkaman di tangga kedua dengan 24 mata. Mereka sedang dihimpit oleh Perak (ketiga) dan Kuantan Rangers (keempat), kedua-duanya mengumpul 21 mata.

Kuantan Rangers merupakan satu lagi pasukan yang membawa pulang enam mata dari minggu keenam dengan menewaskan Terengganu dan Perak – mereka juga perlu berterima kasih kepada sumbangan dari pemain kebangsaan.

Tonggak pasukan negara Akmarulnizam Idris menjaringkan gol tunggal ketika menewaskan Perak 1-0 dan sebelum itu pemain yang baru dipanggil ke kem kebangsaan, Iqbal Aikal, Norkhairi Rahman serta pemain muda negara Iskandar Harun mencetak nama sebagai penjaring ketika menewaskan Terengganu 3-0.

“Kita menang tiga aksi berturut-turut selepas sedikit bergelut dan adalah cukup penting kita kekalkan momentum ini. Pemain-pemain semakin matang dan dapat menyesuaikan diri dengan suasana LFK. Apapun, masih ada enam perlawanan penting dan kita perlu kekal fokus,” kata pengendali Kuantan Rangers, Faizul Gaffar yang juga bekas kapten kebangsaan.

Aksi minggu ketujuh akan berlangsung pada 6 dan 7 Ogos depan. MUHD AIMAN 

- Advertisement -