100PLUS.latestOleh Muhammad Aiman

Melihat kepada carta penjaring terbanyak 100PLUS Liga Premier setakat ini, pemain import gah mengungguli senarai 10 teratas dan statistik itu ternyata suatu perkembangan yang cukup mengecewakan buat penyerang tempatan.

Sama ada penyerang tempatan kita kurang menyerlah, atau kurang diberi peluang tatkala kebanyakan jurulatih memilih untuk menurunkan dua pemain import di bahagian serangan, isu ini pada hakikatnya sudah berulang kali dimainkan dan mungkin juga sudah lapuk sehinggakan tiada lagi yang memandang serius akan perkara ini.

Sepatutnya peluang beraksi di Liga Premier menjadi detik terbaik buat pemain-pemain seperti A.Thamil Arasu (Kuala Lumpur), Afiq Azmi (Negeri Sembilan), Shakir Ali (PKNS Selangor) dan Zaquan Adha (JDT II) untuk memulihkan semula reputasi selaku antara penyerang terbaik dalam negara.

Namun ternyata peluang beraksi yang terhad menyebabkan mereka gagal mencipta impak yang lebih baik. Mahu atau tidak, kita perlu akur betapa peluang untuk penyerang tempatan cukup terbatas sehinggakan ada pemain yang beraksi hanya pada 10 atau 15 minit terakhir selaku pemain gantian, atau lebih teruk tidak langsung diturunkan.

Pendahulu Liga Premier, Kuala Lumpur umpamanya mempertaruhkan Casagrande selaku penyerang utama, Negeri Sembilan mempunyai Joel Chianese dan Andrew Nabbout, JDT II menyandarkan harapan kepada Paolo Rangel dan Shahril Ishak manakala Perlis pula mempertaruhkan kudrat Edward Wilson dan Kayne Vincent untuk meledak gol.

Itu hanyalah sebahagian dari pemain import yang beraksi di posisi penyerang dan secara keseluruhannya dalam saingan Liga Premier, terdapat sekurang-kurangnya 18 pemain import yang bermain selaku penyerang merangkumi 11 pasukan – hanya Angkatan Tentera Malaysia sahaja tidak menggunakan khidmat pemain import dengan kesemua 25 pemain mereka adalah pemain tempatan.

Melihat kepada situasi ini, tidak hairanlah apabila kita melihat nama penyerang tempatan semakin hilang dari radar memburu kasut emas penjaring terbanyak saban musim baik dalam saingan Liga Super mahupun Premier dan ini secara tidak langsung memberi kesan jangka panjang kepada skuad negara yang ketandusan penyerang ‘kaki gol’.

Hanya seorang pemain, iaitu bekas penyerang tersohor Kelantan Hashim Mustapha pernah meraih anugerah kasut emas penjaring terbanyak di sebalik terpaksa bersaing hebat dengan pemain import seperti Scott Olerenshaw, Jose Iriarte, Abbas Saad dan Ervin Boban pada 1993.

Di saat skuad kebangsaan semakin ketandusan penyerang berkaliber, ternyata kita sangat memerlukan pemain yang mempunyai naluri, keazaman dan semangat untuk melakukan sesuatu yang jauh lebih baik dari apa yang boleh dilakukan oleh pemain import.  

Carta Penjaring 100PLUS Liga Premier

6 gol – Pavel Purishkin (Uitm FC)

5 gol – Ivan Babic (KL DRB Hicom)

4 gol – Gabriel Guerra (PKNS Selangor), Kayne Vincent (Perlis), Paolo Rangel (JDT II)

3 gol – Balsa Bozovic (Melaka), Dao Bakary (Kuantan FA), Joel Chianese (Negeri Sembilan), Juan Manuel Cobelli (PKNS Selangor)

- Advertisement -