“Bila mengenang semula detik dia menangis menahan kecewa dan sakit ketika terjatuh pada LTdL 2017, kejayaan Hariff hari ini membuatkan saya amat puas.”
Itu luahan isteri Hariff Saleh, Nur Syahira Nordin sebaik saja melihat jaguh Terengganu Cycling Team (TSG) itu memahat sejarah muncul pelumba Malaysia pertama memenangi dua peringkat dalam satu edisi Le Tour de Langkawi (LTdL).
Hariff, 32, melakar kejutan apabila memenangi Peringkat 7 dari Bagan ke Alor Setar hari ini, dua hari selepas muncul juara Peringkat 5, Selasa lalu.
Sambil membawa dua anak kecil, Nur Syahira setia menemani suaminya dari Kerteh hingga ke Alor Setar sepanjang LTdL 2020 tetapi terpaksa pulang ke Kuala Terengganu esok kerana kasihan dengan anak bongsu mereka yang baru berusia enam bulan.
“Alhamdulillah, saya rasa berbaloi sangat pengorbanan selama ini.
Saya dan anak-anak kerap kena tinggal, kami selalu berjauhan kadangkala hampir sebulan.
“Saya juga selalu melihat dia jatuh dan bangun, melihat kesedihannya apabila gagal mencapai apa yang dimahukan.
“Sebagai isteri seorang pelumba negara, saya perlu kuat untuk terus memberi semangat dan kekuatan kepada suami saya, terutama di saat sukar.
“Namun, insiden ketika dia terjatuh pada LTdL 2017 adalah detik yang tidak mungkin dapat saya lupakan.Ā
“Sehingga kini saya masih dapat merasakan kekecewaannya dan terbayang darah yang banyak keluar,” kata Nur Syahirah, 30, sambil terbatuk gara-gara kesihatan yang kurang baik.
Bagaimanapun sejurus selepas insiden malang tiga tahun lalu, yang menyebabkan Hariff terpaksaĀ menamatkan LTdL lebih awal, dia tidak lagi menoleh ke belakang.
Tahun lalu, pelumba kelahiran Terengganu itu muncul juara Peringkat 2, sekali gus menamatkan penantian sembilan tahun Malaysia untuk memiliki pemenang selepas Anuar Manan melakukannya buat kali pertama pada LTdL 2010.