BILA sebut beyblade, pasti ramai yang terbayangkan sekumpulan kanak-kanak bermain gasing moden ciptaan Jepun.
Bagaimanapun ramai yang tidak tahu, komuniti beyblade di Malaysia sebenarnya cukup besar, malah ia turut melibatkan golongan dewasa, profesional dan warga emas.
Sempena Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, WD Hobbies telah dijemput untuk memeriahkan perlumbaan dengan mengadakan aktiviti sampingan.
Apa yang mengejutkan, di setiap peringkat yang disingahi, khemah mereka pasti penuh sesak dan pertandingan yang diadakan pula menarik penyertaan tidak kurang dari 70 peserta.
“Ketika pihak penganjur menghubungi kami untuk menyertai mereka di sepanjang LTdL berlangsung, saya tidak pasti apakah beyblade ini ada peminat di negeri-negeri.
“Memang tak diduga, rupanya sukan ini ramai pengikut dan ia tidak hanya terdiri daripada kanak-kanak, malah golongan dewasa dan ada juga datuk yang bermain dengan cucu,” kata pengurus pertandingan Beyblade Burst, Wan Norhishamudin Wan Osman.
Menurut Wan Norhishamudin, pertandingan beyblade sempena LTdL menerima sambutan hebat di Kerteh, Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang dan Alor Setar, namun ia terpaksa dibatalkan di Genting Higlands akibat cuaca buruk.
“Saya tidak pasti bagaimana sambutannya di Langkawi (dua hari terakhir perlumbaan) kerana kami tidak tahu apakah ada komuniti beyblade di sana tapi kami teruja untuk melihat.
“Pertandingan diadakan secara ‘walk-in’, jadi esok baru kita boleh tahu berapa ramai penyertaan tapi melihat kepada sambutan di beberapa peringkat, saya percaya ia pasti menggalakkan,”katanya lagi.
- Advertisement -