Tenang sebelum bertarung.

Itu yang dapat disaksikan pada riak wajah pelumba ketika menghadiri majlis sidang media menjelang edisi ke-26 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2022 (LTdL22) yang bermula esok.

Juara 2017, Ryan Gibbons yang kini mewakili UAE Team Emirates jelas teruja dapat kembali ke perlumbaan yang pernah menaikkan namanya selepas memenangi jersi kuning bersama Team Dimension Data.

“Seronok dapat kembali ke sini kerana saya pernah menang satu ketika dulu walaupun kini bersama pasukan baru. Sukar untuk menjangkakan apakah yang akan berlaku dalam perlumbaaan nanti,” kata pelumba kelahiran Johannesburg, Afrika Selatan berusia 28 tahun itu.

Salah seorang pencabar Gibbons dalam perebutan jersi kuning nanti adalah Esteban Chaves Rubio, pelumba EF Education-EasyPost yang pernah beraksi bersama Orica GreenEdge pada 2014.

Walaupun pelumba kelahiran Bogota, Colombia yang kini berusia 32 itu mengalami kemalangan yang hampir menjejaskan kariernya dan sekadar menduduki tangga keempat keseluruhan ketika itu, Chaves tetap ceria dapat kembali ke LTdL yang disifatkannya mempunyai banyak persamaan dengan Colombia, dari segi iklim, suasana dan sifat mesra peminat berbasikal di Malaysia.

“Ini perlumbaan yang bagus untuk menutup tirai perumbaan musim 2022. Corak perlumbaan di sini cukup mudah, jalan yang lurus, lebar termasuk ke Genting Highlands. Apa yang boleh saya katakan ialah kami akan cuba yang terbaik dan kita lihatlah nanti,” katanya.

Namun terpancar sedikit riak kecewa buat pelumba Lotto Soudal, Thomas De Gent, 35, akan nasib pasukannya yang gagal mengekalkan status WorldTeam mereka untuk musim depan.

Pakar breakaway dan pemenang peringkat di ketiga-tiga Grand Tour itu tidak mahu terbawa-bawa dan sekadar mahu memberikan yang terbaik sebelum mereka berehat musim sejuk.

“Saya sudah berlumba 89 hari sepanjang tahun ini dan sepatutnya sudah berehat. Tetapi apabila diberi peluang berkayuh di sini, saya tetap terima kerana tidak pernah berkayuh di sini.

“Ini kali pertama saya datang ke Malaysia dan pasukan kami akan tetap berkayuh seperti yang dirancang walaupun akan tersingkir daripada WorldTeam musim depan,” kata De Gent.

Antara pencabar jersi kuning individu keseluruhan (GC) lain pada LTdL22 ini adalah George Bennett dan Rui Costa (UAE Team Emirates); Ion Izagirre (Cofidis); juara LTdL2016 Reinhart Janse van Rensburg (Lotto-Soudal); Ivan Sosa (Movistar); Anton Charmig (Uno-X) dan Eduardo Sepulva (Drone Hopper-Androni).

Sama seperti perebutan jersi kuning, jersi hijau Raja Pecut juga dijangka menarik dengan adanya beberapa pelumba yang pernah memenangi peringkat di LTdL lalu, termasuk pemenang 3 peringkat dari Terengganu Polygon Cycling Team, Harrif Saleh.

Hadir dengan momentum positif selepas memenangi Peringkat 5 Tour of Taiwan, minggu lalu, pelumba 34 tahun itu menyifatkan saingan tahun ini lebih mencabar dengan kehadiran banyak pasukan elit WorldTeam.

“Susah nak cakap kerana hampir dua tahun kita tidak berlumba disebabkan pandemik. Walaupun dalam kondisi yang cergas, saya perlu melihat situasi perlumbaan di peringkat awal terlebih dahulu.

“Tetapi saya bawa semangat dan momentum dari Taiwan dan berharap dapat memberikan yang terbaik,” kata Harrif.

Antara pencabarnya di laluan landai nanti adalah pelumba Alpecin-Deceuninck, Jakub Mareczko yang pernah memenangi peringkat dalam LTdL 2016 dan 2017, Max Kanter (Movistar); Juan Sebastien Molano (UAE Team Emirates); Armee Sander (Cofidis); Eduard Grosu (Drone Hopper-Androni) dan Raymond Krader (UKYO).

Seramai 117 pelumba dari 20 pasukan membabitkan enam pasukan WorldTeam, empat ProTeam; tujuh pasukan benua dan tiga pasukan kebangsaan akan memulakan saingan Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3km.

- Advertisement -