PELUMBA Alpecin-Deceuninck, Lionel Taminiaux memberikan kemenangan kedua berturut-turut buat pasukan ProTour itu apabila menguasai kayuhan Peringkat 5 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2022 dari Kuala Kangsar ke Kulim, hari ini.

Pelumba Belgium berusia 26 tahun itu, yang sebelum ini mengambil peranan sebagai pembantu kepada pemenang Peringkat 4 Jakub Mareczko di Meru Raya semalam, menggunakan kebijaksanaannya untuk mengatasi pelumba EF Education-EasyPost, Julius Van Den Berg dan Carter Bettles (ARA Pro Racing Sunshine Coast), menamatkan kayuhan sejauh 172km itu dengan masa 3 jam 41 minit 42 saat.

Taminiaux sebelum ini menduduki tempat keempat pada Peringkat 1 serta ketujuh di Peringkat 4, dan menyedari dirinya mempunyai kekuatan untuk membuat pecutan terakhir.

“Ya, saya gembira dengan kemenangan hari ini. Walaupun ia bukanlah kemenangan terbesar dalam karier saya, saya tetap gembira kerana bentuk perlumbaan di bawah cuaca panas ini amat sukar.

“Ia lebih manis kerana sebelum ini saya menjadi pembantu kepada Jakub tetapi hari ini, saya berada di depan dan menggunakan kesempatan ini sebaiknya untuk menang.

“Ketika Van Den Berg cuba melakukan serangan, saya hanya mengekorinya dan kami berada agak selesa di depan sebelum pelumba ARA (Bettles) pula memecut dan memintas kami pada jarak kira-kira 500 meter.  Kali ini saya pula mengekori pelumba ARA itu dan rasa bertenaga untuk memintasnya kira-kira 100 meter dari garisan penamat,” kata Taminiaux yang menyertai Alpecin sejak 2021 dan menang peringkat terakhir perlumbaan 4 Hari Dunkirk tahun ini.

Ketika penyarung jersi kuning dari Movistar, Ivan Ramiro Sosa terus mempertahankan kedudukan pendahulu keseluruhan dengan msa terkumpul 18 jam 16 minit 21 saat, rakan sepasukannya, Max Kanter yang berada dalam kumpulan pendahulu di pertengahan perlumbaan, turut melangkah ke podium apabila merampas jersi hijau Raja Pecut daripada penyarung sebelumnya, Gleb Syritsa (Astana-Qazaqstan), dengan kini mengumpul 31 mata, hanya 1 di depan pencabar terdekatnya itu.

Kanter yang berada dalam kumpulan pendahulu dan menguasai dua zon pecutan di Selama dan Karangan serta menduduki tempat kelima Peringkat 5 itu, kini mengumpul 31 mata, hanya 1 mata di depan Taminiaux dan 4 mata di depan Syritsa.

“Saya berada dalam kumpulan breakaway, dan mengambil kesempatan ini untuk cuba merampas jersi pecut tetapi matlamat utama pasukan kami ialah menang peringkat ini. Jadi keutamaan saya ialah memenangi peringkat selepas ini dan akan cuba menambah mata pecut selepas ini,” katanya.

Di akhir peringkat kayuhan yang berlangsung dengan purata kelajuan 46.55kmj itu, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yang kehilangan Yousef Reguigui akibat kemalangan di akhir Peringkat 4 semalam, tetap gembira dan berbangga apabila usaha Jambaljamts Sainbayar untuk merampas jersi putih Pelumba Terbaik Asia berhasil.

Pelumba kelahiran Mongolia itu memungut bonus 2 saat lagi di zon pecutan pertama di Lenggong untuk membolehkannya merampas jersi itu daripada pelumba Astana, Andrey Zeits, selain mendaki satu tangga ke tempat kelapan keseluruhan dalam senarai individu, 2:32s di belakang Sosa.

“Saya cuba lagi hari ini dan dapat berada dalam kelompok kecil. Tetapi peloton berkayuh laju hari ini dan saya hanya berada di dalam kumpulan besar selepas ditangkap. Ini jersi sasaran saya dan saya gembira dengan usaha ini,” kata Sainbayar.

Dengan hanya satu zon pendakian di Sumpitan, penyarung jersi merah Raja Bukit, Muhammad Nur Aiman Zariff pula sekadar berada dalam kelompok besar dan berkayuh secara selamat.

“Hari ini peloton bergerak laju, jadi saya tidak mahu ambil risiko. Tetapi saya akan cuba menguasai beberapa lagi zon pendakian Kategori 2 di Langkawi nanti kerana sasaran utama ialah mempertahankan jersi merah ini,” kata pemenang emas Sukan SEA Hanoi berusia 25 tahun itu.

Seperti empat peringkat terdahulu, cubaan meloloskan diri dapat dilihat pada awal perlumbaan, namun kali ini peloton tidak membenarkannya dan hanya melepaskan seketika sekumpulan kecil pelumba yang merebut mata di zon pecutan pertama di Lenggong yang dimenangi Sainbayar.

Selepas itu, peloton meningkatkan tempo kayuhan dengan kelajuran 48kmj sebelum menghampiri zon pendakian tunggal pada Peringkat 5 ini di Sumpitan (62.5km) yang turut dimenangi Sainbayar, manakala sekumpulan pakar pecut tercicir sebelum menangkap semula peloton dalam laluan menurun.

Hanya selepas itu, sekumpulan 11 pelumba membuat pemecahan iaitu Ryan Gibbons (UAE), Sander Amee dan Hugo Toumire (Cofidis), Sylvain Moniquet (Lotto-Soudal), Max Kanter dan Mathias Jorgensen (Movistar), Giani Moscon (Astana), Lionel Taminiaux (Alpecin), Ander Okamika (Burgos), Carter Bettles (ARA) dan Julius Van Den Berg (EF Education).

Suatu ketika selepas melepasi zon pecutan 2 di Selama, kumpulan pendahulu ini berada 2:05s di depan peloton yang diterajui pelumba UNO-X dan Drone Hopper-Androni hingga dapat mencantas kelebihan itu kepada 1:15s pada jarak 125km.

Pada baki 30km ke garisan penamat, pasukan benua dari Australia, ARA turut membantu peloton untuk mengejar kumpulan pendahulu, dengan purata kelajuan ketika itu mencecah 45.9kmj.

Berbaki 25km, jarak semakin mengecil kepada hanya 1 minit dan menjadi 35 saat sebaik melepasi zon pecutan ketiga di Karangan yang dikuasai Kanter sekali lagi.

Walaupun peloton bergerak laju, kumpulan depan yang berkira-kira sama ada untuk terus memecut awal pada baki 2km, dengan Van Den Berg yang memulakan henjutan diikuti Taminiaux dan kemudian Bettles tetapi kebijaksanaan pelumba Alpecin itu membolehkan dia memintas untuk melintasi garisan penamat terlebih dulu.

Peringkat 6 esok akan bermula di Padang Kota, Pulau Pinang ke perkarangan Masjid Zahir di Alor Setar, membabitkan jarak kayuhan sejauh 120.4km, membabitkan tiga zon pecutan tetapi tiada zon pendakian.

- Advertisement -