Harimau Malaya memulakan kempen saingan Piala Suzuki AFF 2020 dengan langkah kanan selepas menundukkan Kemboja 3-1 dalam aksi pembukaan kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe menguji kubu Kemboja menerusi percubaan Safawi Rasid di minit keenam dan Guilherme de Paula (minit 18) namun penjaga gol, Keo Soksela kental menafikan jaringan awal Malaysia.

Kesilapan Kouch Sokempheak mengasari Akhyar Rashid mengundang padah di minit ke 23 apabila Malaysia dihadiahkan penalti dan Safawi Rasid tidak mensia sia peluang untuk meletakkan Harimau Malaya mendahului 1-0.

Malaysia terpaksa menunggu lebih setengah jam sebelum gol kedua hadir untuk Malaysia, kali ini giliran Akhyar Rashid melakar nama selaku penjaring kedua Harimau Malaya hasil gerakan serangan balas pantas diminit ke 60.

Pemain gantian, R Kogileswaran menjadikan kedudukan 3-0 untuk skuad kendalian Tan Cheng Hoe selesa didepan di minit 79 namun gawang negara yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat bolos di penghujung permainan menerusi penalti yang disempurnakan Sath Rosib.

Kemenangan ini menyaksikan Malaysia melebarkan rekod kemenangan dalam 11 perlawanan berturut turut ke atas Kemboja sejak 1971.

Kemenangan ini meletakkan Malaysia di tangga teratas kumpulan B, berkongsi tiga mata dengan Vietnam, dibezakan dengan jumlah gol.

Dalam satu lagi aksi kumpulan B, Vietnam yang juga juara bertahan meraih tiga mata selepas menundukkan Laos 2-0.

Malaysia akan menentang Laos di venue sama, Khamis ini.

- Advertisement -