Keadaan semasa pandemik Covid 19 yang masih belum menampakkan sebarang petanda bakal berkurangan memaksa Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) menangguhkan Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2020 ke tahun 2021

Keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Pasukan Petugas Piala Suzuki AFF mengadakan perbincangan dengan ahli gabungan menerusi persidangan video.

Presiden AFF Mej Jen Khiev Sameth menerusi kenyataan media menjelaskan keselamatan dan kesihatan semua pihak terutama pemain dan pegawai pasukan serta pegawai pertandingan menjadi keutamaan AFF sekaligus sepakat untuk membuat keputusan ini.

“Sejak bermulanya penularan COVID-19, AFF telah memantau panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kementerian Kesihatan, agensi kerajaan, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),”kata Khiev.

 

“Seperti yang anda sedia maklum, pandemik ini terus memberi cabaran yang sangat besar khususnya dari segi kesihatan, sosial dan ekonomi kepada kita semua. Keutamaan AFF adalah kesihatan dan keselamatan keluarga bola sepak kita dan mengurangkan kesan pandemik ini. Dengan risiko penularan COVID-19 yang semakin meningkat, AFF tidak boleh meneruskan Piala Suzuki AFF 2020,” tambahnya lagi.

AFF dan ahli gabungan akan terus memantau situasi semasa Covid 19 sebelum memutuskan tarikh dan perincian lain berkaitan edisi 2021 Piala AFF Suzuki.

Keputusan penundaan Piala AFF disambut baik rakan kongsi komersial eksklusif Piala AFF Suzuki, Sportfive menerusi Presidennya Adrian Staiti yang mengutamakan kesejahteraan semua pihak.

“Walaupun kami agak kecewa kerana tidak dapat mengadakan kejohanan itu tahun ini, kami akan sentiasa bekerjasama dengan AFF untuk memantau keadaan dan berharap dapat bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi kami untuk menganjurkan kejohanan yang terbaik untuk peminat di rantau ASEAN tahun depan,” kata Staiti.

Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2020 dijadual berlangsung dari 23 November hingga 31 Disember.

 

- Advertisement -