Oleh Muhammad Aiman

Penerjun elit negara, Pandelela Renong dan Cheong Jun Hoong memulakan tahun 2017 dengan nota cemerlang apabila memenangi pingat perak 10m platform seirama di pusingan pembuka tirai Siri Terjun Dunia, di Beijing, China.

Pandelela dan Jun Hoong yang merupakan pemenang pingat perak acara sama di Sukan Olimpik Rio De Janeiro tahun lalu, berkesudahan di kedudukan podium setelah mengumpul 316.08 mata hasil lima terjunan.

Pasangan dari China, Ren Qian-Chan Yani yang menggantikan gandingan senegara, Chen Ruolin-Liu Huixia yang bersara selepas Olimpik Rio meraih emas dengan 340.26 mata manakala gangsa menjadi milik penerjun Korea Utara, Kim Kuk Hyang-Kim Mi Rae (313.92 mata).

“Ia adalah permulaan yang baik buat Pandelela dan Jun Hoong memandangkan ia adalah aksi kompetitif pertama mereka selepas Olimpik. Mereka tidak menukar tahap kesukaran, yang positifnya mereka berjaya mengurangkan percikan air ketika melakukan entry,” kata Yang Zhuliang, jurulatih terjun negara.

Satu lagi pasangan negara, Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri pula sekadar berkesudahan di tempat keenam acara 3m papan anjal seirama setelah mengumpul 268.62 mata.

Emas acara itu dimenangi gandingan baru China, Shi Tingmao-Xu Zhihuan (319.20 mata), perak menjadi milik penerjun Australia, Anabelle Smith-Madison Keeney (298.68 mata).     

Untuk rekod, Siri Terjun Dunia yang berlangsung empat pusingan hanya membabitkan 10 penerjun terbaik dunia berdasarkan kedudukan mereka di Sukan Olimpik. Pusingan seterusnya akan berlangsung di Guangzhou, China hujung minggu depan, diikuti Kazan, Russia (31 March-2 April) dan Windsor, Kanada (21-23 April).

- Advertisement -