Oleh Muhammad Aiman

Negeri Sembilan terus merajai takhta 100PLUS Liga Premier setelah menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Gol jaringan Khairul Anwar Shahrudin dan Marko Simic menghadiahkan skuad kendalian Asri Ninggal kemenangan ketujuh berturut-turut dan mengekalkan rekod sempurna mereka setakat ini.

Negeri Sembilan ketika ini mengumpul 21 mata, berkelebihan tiga mata mengatasi pasukan tangga kedua Terengganu, dan masih mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu turut melakar kemenangan dengan menewaskan ATM 1-0 menerusi jaringan tunggal Issey Nakajima Farran.

PKNP FC pula melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada tujuh perlawanan setelah bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Sabah 1-1 di Stadium Ipoh, Perak.

Skuad kendalian Abu Bakar Fadzim menghuni tangga ketiga dengan 15 mata manakala Sabah kekal menghuni kedudukan ketiga tercorot dengan empat mata.

Dalam pada itu, UITM FC mencuri tumpuan pada minggu kelapan saingan Liga Premier apabila melakar kemenangan besar 7-2 mengatasi MISC-MIFA di Stadium USIM, Nilai.

Ianya MIFA yang terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Michael Chukwubuna pada minit keenam namun permulaan indah yang diimpikan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila MIFA kemudiannya melepaskan tujuh gol – tiga di separuh masa pertama dan empat di separuh masa kedua.

Pesta gol Uitm dimulakan oleh Asnan Awal Hisham pada minit ke-17 dan 27, diikuti jaringan Do Dong Hyun pada minit ke-40 dan Akani Sunday Wasiu pada minit ke-50.

Do Hyun kemudiannya menjaringkan dua gol di babak kedua untuk melengkapkan hatriknya pada minit ke-59 dan 75, manakala satu lagi jaringan oleh Sunday Wasiu pada minit ke-72.

Kuantan FA turut berpesta gol dengan menewaskan Perlis 5-0 di Darulmakmur dengan gol dijaringkan oleh Baqiudin Samsudin, Ljubo Baranin, Nabilah Khan Razali (dua gol) dan Sim Woon Sub.

Kemenangan menyaksikan Kuantan melonjak ke tangga ketujuh dengan 12 mata manakala Perlis kekal di tangga tercorot, masih mencari kemenangan pertama.

Satu lagi perlawanan di antara PDRM dan JDT II berkesudahan seri 1-1.

- Advertisement -