Oleh Muhammad Aiman

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) masih membuka pintu buat bekas pemain importnya, Andik Vermansyah untuk kembali memperkuatkan pasukan sekiranya pemain Indonesia itu kembali cergas apabila pintu perpindahan kedua dibuka pada Mei.

Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim berkata, “Andik masih belum pulih dari kecederaan ACL yang dialaminya, tetapi kita sedang berunding dengan ejennya untuk situasi menang-menang. Andik akan tersisih antara tiga ke empat bulan, jika dia pulih dan cergas untuk bermain, tiada masalah kami daftarkannya pada Mei.”

Andik yang masih mempunyai kontrak sehingga akhir musim 2017 merupakan antara tonggak utama membantu kemaraan Selangor ke final Piala Malaysia tahun lalu dan muncul juara trofi tertua di Asia Tenggara itu buat kali ke-33 pada setahun sebelumnya.

Begitupun dia mengalami kecederaan serius ketika membantu cabaran Indonesia di Piala AFF Suzuki pada Disember lalu menyebabkan namanya tidak didaftarkan selaku salah seorang daripada empat pemain import Red Giants.

Sebagai ganti Selangor membawa masuk pemain sayap dari Romania, Victoras Astafei manakala pemain tengah dari Timor Leste, Juliano Mineiro pula memenuhi kuota Asia. Dua lagi pemain import mereka adalah Francis Forkey Doe dan Ugo Ukah.

Seandainya Andik kembali pada Mei nanti, maka Selangor hampir pasti akan melepaskan khidmat Mineiro namun pemain berusia 25 tahun itu dikhabarkan turut mahu melihat kepada pilihan-pilihan yang ada sebelum membuat sebarang keputusan.

- Advertisement -