Piya tidak mahu TRW memandang remeh keupayaan lawan di laman sendiri.
Piya tidak mahu TRW memandang remeh keupayaan lawan di laman sendiri.

KETUA pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi tidak mahu mimpi ngeri berulang ketika melayan kunjungan Sabah dalam saingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV malam esok.

The Red Warriors (TRW) dikejutkan dengan kekalahan 2-1  di tangan PKNS FC di gelanggang sendiri dalam aksi Liga Super 28 Januari lalu, dan Piya tidak mahu kejadian itu berulang ketika melayan kunjungan Sabah malam ini.

Beliau berkata kekalahan kepada PKNS FC tempoh hari menjadi iktibar kepada pasukannya supaya tidak memandang mudah keupayaan lawan, malah menyifatkan beraksi di gelanggang sendiri bukan jaminan untuk mendapatkan mata penuh.

Katanya, TRW yang turun selaku juara bertahan perlu mempamerkan aksi terbaik sekali gus menuntut rakan sepasukan melupakan kekalahan pertama kepada PKNS FC tempoh hari dan bangkit mempertahankan Piala FA.

“Yang pasti kita sudah tidak mahu kalah di stadium sendiri lagi dan kami tidak boleh menghampakan penyokong. TRW sebagai juara bertahan perlu mempamerkan aksi terbaik untuk mempertahankan trofi yang dimenangi musim lalu.

“Kekalahan kepada PKNS FC perlu dilupakan dan saya mahu rakan sepasukan bangkit untuk membuktikan TRW masih mampu memberi saingan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu jurulatih Kelantan Steve Darby berkata TRW berkemungkinan dapat menggunakan khidmat pemain tengah import, Mohamed Shawky Aly yang kini dilaporkan sudah pulih daripada kecederaan hamstring.

Katanya, kehadiran Shawky Aly bakal menguatkan jentera tengah selain mengharapkan gandingan mantap pemain dari Mesir itu dengan Piya untuk mencorakkan permainan bagi membolosi gawang lawan.

“Shawky sudah pulih, namun saya perlu menilainya sehingga latihan terakhir sebelum perlawanan dan jika keadaannya memuaskan, tidak mustahil saya akan menurunkannya malam esok.

“Kami amat memerlukannya untuk menguatkan bahagian tengah pasukan, dan ketiadaannya telah menjejaskan pasukan kami. Saya mahu TRW bangkit dan menang malam esok,” katanya.

 

- Advertisement -