Kuala Lumpur hampir sahaja berputih mata terlepas trofi 100PLUS Liga Premier setelah mengalami kekalahan 1-3 kepada Johor Darul Takzim II dalam aksi terakhir liga pada Jumaat, namun terima kasih kepada PKNP FC yang tampil menyelamatkan malam pesta mereka.

Biarpun tewas, pasukan warga kota dinobatkan selaku juara baru Liga Premier berikutan pencabar terdekat mereka Terengganu terlepas peluang untuk memintas setelah turut kecundang dengan angka jaringan sama kepada PKNP FC di Stadium Ipoh.

Kuala Lumpur dan Terengganu terikat dengan 47 mata di puncak liga dan kejuaraan menjadi milik pasukan bimbingan Fabio Maciel da Silva itu menerusi beza jaringan sekaligus menyaksikan mereka menjulang trofi pertama dalam tempoh 17 tahun.

Dalam aksi berlangsung di Stadium Pasir Gudang, Kuala Lumpur yang turun dengan keyakinan tinggi untuk memburu kemenangan ketinggalan seawal minit ketiga menerusi tandukan Jeronimo Barrales yang menanduk masuk hantaran Samuel Caceres.

Bekas pemain Harimau Muda, D.Saarvindran menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-20 apabila menolak masuk bola percubaan Syahrul Azwari yang terkena tiang sebelum jaringan sepakan percuma Nicolas Fernandez mengukuhkan cengkaman buat tuan rumah pada minit ke-59.

Kuala Lumpur cuba kembali dalam permainan setelah Guilherme De Paula menjaringkan gol ke-30nya musim ini dengan menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke-62 namun ia tidak memadai untuk mereka menterjemahkan kebangkitan sensasi.

Terengganu pula seharusnya menyalahkan diri sendiri. Pada ketika Kuala Lumpur ketinggalan 0-2 kepada JDT II di separuh masa pertama, Terengganu sedang mendahului PKNP 1-0 menerusi jaringan Kipre Tchetche seawal minit keenam yang bermakna trofi Liga Premier kini berada dalam genggaman mereka.

Namun, skuad bimbingan Irfan Bakti gagal mempertahankan kelebihan itu dan menggigit jari apabila PKNP bangkit menjaringkan tiga gol di separuh masa kedua menerusi Gilberto Fortunato (m-51) dan dua jaringan pantas Kim Hyun Woo (m-65 dan 67).

Kemenangan buat PKNP menyaksikan mereka mengakhiri musim pertama dalam Liga Premier di kedudukan ketiga dengan 46 mata. 

Dalam pada itu, Angkatan Tentera Malaysia menewaskan Perlis 2-1 di Paroi namun kedua-dua pasukan tersingkir ke Liga FAM musim depan tatkala MISC-MIFA berjaya menyelamatkan diri untuk terus kekal bersaing di Liga Premier setelah mengejutkan PDRM 3-0. OLEH MUHD AIMAN

- Advertisement -