100PLUS.latestOleh Muhammad Aiman

Finalis Piala FA, PKNS Selangor semakin hampir untuk kembali beraksi di kancah saingan Liga Super musim depan setelah menewaskan Melaka United 3-1 seterusnya mengukuhkan kedudukan mereka di tangga kedua 100PLUS Liga Premier tatkala pencabar terdekat Johor Darul Takzim II sekadar mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang Kuala Lumpur.  

Dalam aksi di Stadium Shah Alam, Melaka yang sudahpun mengesahkan kejuaraan liga dua minggu lalu tewas buat kali pertama selepas 11 perlawanan apabila membenarkan PKNS bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan penting.

Skuad Mat Zan Mat Aris itu terlebih dahulu di depan menerusi jaringan penalti Ilija Spasojevic pada penghujung separuh masa pertama namun PKNS menjaringkan tiga gol di separuh masa kedua menerusi ayam tambatan Gabriel Guerra (m-48), Alif Haikal (m-52) dan Munir Amran pada minit ke-87.

Dengan 45 mata – tiga mata mengatasi pasukan tangga ketiga JDT II – skuad E.Elavarasan hanya perlu seri pada perlawanan terakhir menentang Kuala Lumpur di Stadium Selayang bulan depan untuk mengesahkan kedudukan sebagai naib juara liga dan mara mengiringi Melaka ke Liga Super.

Sementara itu, hasrat JDT II untuk terus menghimpit rapat kedudukan PKNS bagi merebut tempat ke Liga Super disentap skuad helang kota yang bangkit merakam keputusan seri 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Meskipun mendahului seawal minit pertama menerusi pemain kebangsaan Irfan Fazail, JDT II gagal mencari tambahan jaringan sebaliknya memberi ruang kepada Kuala Lumpur bimbingan Ismail Zakaria untuk menyamakan kedudukan melalui sentuhan Jonathan Viviana pada minit ke-42.

Satu mata yang diraih menyaksikan kedua-dua pasukan kekal di tangga ketiga dan keempat masing-masing dengan 42 dan 35 mata.

Perlawanan lain menyaksikan Negeri Sembilan mencatat keputusan seri 1-1 menentang DRB Hicom di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk kekal di tangga kelima dengan 32 mata.

Jaringan Alexander Smith pada minit ke-18 memadam kelebihan DRB Hicom yang mendahului menerusi Ivan Babic seawal minit keenam dan menyelamatkan satu mata buat skuad Hoben Jang Hoben.

Perlis pula kekal di tangga keenam dengan 31 mata, setelah membenam Uitm FC 5-2 di gelanggang lawan menerusi dua jaringan Afif Amirudin serta satu masing-masing sumbangan Park Yong Jun, Mohamadou Sumareh dan Alafi Mahmud manakala dua gol Uitm dijaringkan Raslam Khan.

Di Stadium Likas, dua jaringan Dao Bakary dan satu menerusi Abdul Wafiy membantu Kuantan FA melakar kemenangan 3-2 ke atas tuan rumah Sabah manakala Sime Darby sah tersingkir dari Liga Premier setelah kecundang 1-3 kepada ATM.     

- Advertisement -