Juara bertahan PKS –Uniten-KPT mara ke final Piala Vivian May Soars 2021 menerusi peraturan gol tempat lawan (away gol) biarpun terikat 1-1 dengan PDRM Blue Warriors pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Hoki Nasional malam ini.
Kedua-dua pasukan menamatkan kempen separuh akhir dengan agregat 4-4 tetapi PKS Uniten layak ke akhir berdepan UniKL Ladies berdasarkan kepada gol tempat lawan.
Uniten-KPT berjaya dalam strategi mencari gol pertama apabila Noorhayati Sirkam menjaringkan gol padang pada minit ke 51.
Gol itu menyaksikan PDRM bangkit melancarkan serangan bertali arus hingga membuahkan kejayaan menyamakan kedudukan 1-1 menerusi pukulan sudut penalti Nurul Safiqah Mat Isa.
PDRM terus melancarkan serangan menyedari perlu mendapatkan gol lebih untuk memastikan layak berdasarkan peraturan gol tempat lawan.
Uniten bagaimanapun terus bertahan dan memastikan tiket final milik mereka dan mara sekali lagi ke akhir untuk bertemu UniKL Ladies.
Jurulatih Uniten-KPT Lailin Abu Hassan melahirkan pujian pada semua pemain atas komitmen tinggi dan tidak berputus asa mengekang serangan lawan.
“Kami tahu bahawa keputusan seri sudah cukup untuk layak dan memang semua barisan pemain layak mendapat pujian,” kata Lailin.
Jurulatih PDRM Ahmad Nizam nyata kecewa tetapi menganggap tahap permainan yang ditunjukkan kedua-dua pasukan amat baik. “Tahniah kepada UNITEN di atas kejayaan dan kami mensasarkan untuk menang tempat ketiga selepas ini,” kate beliau.
Dalam pada itu, trio penyerang UNIKL LADIES Nur Amirah Shakirah Zulkifli, Nur Atira Ismail dn Hanis Nadia Onn memuktamadkan secara rasmi tempat pasukan di perlawanan akhir selepas kemenangan 3-0 ke atas Sabah mala mini.
Selepas kemenangan besar 8-0 Ahad lepas, separuh akhir kedua hanyalah sebagai formaliti dan latihan buat UniKL untuk persiapan menjelang perlawanan akhir nanti.
UniKL Ladies mencipta sejarah tersendiri kerana selain menjuarai Liga, pasukan bimbingan Roslan Jamaluddin itu juga memburu Piala Vivian May Soars untuk dijadikan koleksi dalam penampilan pertama mereka.
Begitu pun, UniKL Ladies terpaksa menunggu hingga suku kedua sehinggalah Hanis Nadia Onn memecah kebuntuan pada minit ke-18 sebelum Nur Atira dan Nur Amirah memastikan kemenangan dengan jaringan padang pada minit ke-37 dan 46.
“Memang sasaran turun hari ini untuk lengkapkan kemenangan…tiada kecederaan buat masa ini dan tempoh dua rehat dua hari sebelum final pada Sabtu ini akan diguna untuk mencatur strategi,” kata pengendali UniKL Ladies Roslan Jamaluddin.
PIALA VIVIAN MAY SOARS
PERLAWANAN AKHIR: (3 April 2021)
NHS 1
1830: UniKL Ladies mln PKS Uniten-KPT