Persatuan Bolasepak Malaysia memutuskan untuk menggunakan khidmat pemain naturalisasi sedia ada bagi menghadapi peringkat ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung bermula Februari 2023.

Ia sekaligus mengesahkan FAM menangguhkan projek naturalisasi pemain baharu buat sementara waktu.

Jelas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, penilaian daripada Jawatankuasa Teknikal, Jawatankuasa Naturalisasi, pengurusan pasukan kebangsaan dan Pengarah Teknikal FAM (Datuk Ong Kim Swee) diperlukan sebelum memutuskan sebarang keputusan berkaitan.

FAM menumpukan pemain berdarah campuran (heritage), kerana ia bukan mudah untuk mencari individu yang mempunyai kualiti dan beraksi dengan baik.

Bercakap di sidang media secara atas talian selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM, Datuk Hamidin turut menambah program naturalisai mungkin akan digunapakai jika diperlukan dan tidak mustahil ia mungkin akan disambung semula pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Skuad Harimau Malaya memiliki tiga pemain naturalisasi; Mohamadou Sumareh yang diberi kerakyatan Malaysia hasil usaha Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi yang mendapat kerakyatan negara menerusi FAM.

 

- Advertisement -